Categories
SELANGOR

ILHAM Centre : Harapan PKR menang di DUN Kajang cerah

Oleh: Mohd Ezli Mashut

KAJANG 23 MAC : Selepas tamat tempoh kempen lewat malam semalam, kajian lapangan ILHAM Centre mendapati sokongan pengundi kepada PKR, Datuk Seri Dr Azizah Wan Ismail berada dalam keadaan selesa untuk menang.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar, berkata Barisan Nasional (BN) kelihatan sukar menembusi kubu kuat Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang ini.

ilhamKatanya, malah PKR memperbaiki asas sokongan dengan membuat lonjakan sokongan di kalangan pengundi Melayu kerana faktor calon yang ditampilkan.

“PKR kelihatan selesa dengan 53 peratus mendahulu, BN yang hanya pada 32 peratus. Bakinya 15 peratus belum lagi menetapkan pendirian.

“Jika keadaan ini berterusan pada hari pengundian, PKR dijangka dapat mempertahankan kerusi DUN Kajang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, strategi meletakkan Wan Azizah juga dilihat mampu menawan sekelompok pengundi yang memilih atas faktor calon Melayu-Islam iaitu sebanyak 11 peratus.

Katanya, undi mereka yang mengundi calon BERJASA (ISMA), dan beberapa calon bebas yang lain dalam PRU 13 lalu berjumlah lebih 1,000 undi dijangka akan beralih kepada Wan Azizah atas faktor ini.

Beliau berkata, berdasarkan unjuran PRU lalu, undi Cina yang memberi undi kepada PR mencecah 82 peratus, undi Melayu 49 peratus dan undi India sekitar 55 peratus.

“Jika tren ini berterusan, hasrat BN untuk mengurangkan majoriti PKR di sini mungkin hanya tinggal harapan,” katanya.

Katanya lagi, PKR hanya perlu mengekalkan momentum sokongan pengundi Cina, menambah lonjakan undi Melayu, maka pengundi Melayu adalah penentu kemenangan dan julah majoriti undi yang akan diperolehi.

“Di dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu, BN memperolehi sebahagian besar undi mereka daripada daerah mengundi majoriti Melayu seperti Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras.

Oleh itu, strategi BN ialah berusaha mengekalkan jumlah undi Melayu agar tidak beralih arah kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

“Berdasarkan dapatan kuantitatif dan kualitatif, kami dapati calon PKR selesa mendahului calon BN dan bergantung kepada peratus keluar mengundi serta tahap sokongan undi Melayu yang akan menentukan jumlah majoriti kecil atau besar,” katanya.

Beliau berkata, merujuk dapatan kajian, Wan Azizah lebih dikenali oleh responden sebelum pilihan raya lagi iaitu 72 peratus berbanding Chew Mei Fun menduduki peratus sebanyak 7 peratus sahaja.

Chew Mei Fun disifatkan responden terutama pengundi Melayu sebanyak 56 pertaus baru mengenali dalam tempoh kempen ini berlangsung.

Pengundi yang ditemubual juga menyifatkan pemilihan Datuk Seri Dr Azizah menggantikan calon asal Anwar Ibrahim sebagai pilihan tepat dengan peratus sebanyak 52 peratus berbanding calon BN hanya memperolehi sekitar 38 peratus sahaja.

“Strategi meletakkan Wan Azizah juga dilihat mampu menawan sekelompok pengundi yang memilih atas faktor calon Melayu-Islam iaitu sebanyak 11 peratus,” katanya.

ILHAM Centre melakukan kajian lapangan bermula 19 Mac hingga 22 Mac 2014 yang menemubual responden secara tatap muka seramai 406 pengundi berdaftar bagi mewakili populasi di dalam kawasan kajian ini.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.