Oleh : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM 14 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan orang ramai khususnya warga Selangor supaya tidak melakukan aktiviti di luar rumah ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan negeri itu berada di tahap berbahaya.
Melalui laman sosial Twitter, beliau berkata penduduk diminta menggunakan penutup mulut dan hidung selain mengamalkan pengambilan air kosong yang banyak.
“Banting dan Pelabuhan Klang mencatatkan IPU berbahaya. Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Selangor di paras tidak sihat.
“Oleh itu, penduduk diminta tidak melakukan aktiviti luar rumah, gunakan penutup hidung dan mulut serta banyakkan minum air kosong,” katanya.
Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya upaya menangani keadaan yang menyukarkan itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seluruh negeri mula mengedarkan topeng muka di kawasan masing-masing bermula semalam.
Setakat pagi tadi, laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Pelabuhan Klang dan Banting mencatatkan masing-masing 358 dan 311, manakala Petaling Jaya (185), Shah Alam (164), Putrajaya (175) serta Kuala Selangor (149).
Jabatan Pelajaran Selangor juga mengarahkan 31 buah sekolah di daerah Klang ditutup hari ini ekoran jerebu yang tidak sihat dan berbahaya itu.
-NFN-