Categories
SELANGOR

MBSA anjur Advokasi Denggi, kaedah tingkat kesedaran masyarakat

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menganjurkan program khas, Gerak Advokasi Denggi Shah Alam 2014 dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan bahaya denggi.

Program itu akan membabitkan penyertaan ahli majlis, pemimpin masyarakat, majlis perwakilan pelajar institut pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) dan warga kerja MBSA.

Kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti MBS berkata, semua yang terbabit akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dengan anggaran sepuluh orang bagi setiap kumpulan.

“Kumpulan kecil ini akan bergerak dari rumah ke rumah dengan dibekalkan tag pengenal diri iaitu button badge, t-shirt dan risalah pencegahan denggi.

MBSA“Kita juga sudah mencetak 250,000 risalah berkenaan pencegahan denggi untuk diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Program yang dijangka bermula pada bulan April ini juga membabitkan kerjasama daripadaJjabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Bermula awal tahun hingga 22 Mac lalu, 2607 kes demam denggi dilaporkan di kawasan MBSA.

Dalam tempoh itu, MBSA mengadakan pemeriksaan ke atas 22,652 premis termasuk kediaman, rumah kedai, sekolah, tadika dan restoran.

Selain itu, MBSA turut melakukan aktiviti fogging di 243,913 premis selain mengeluarkan 149 kompaun di bawah Akta kerajaan Tempatan 1976 kerana membiak jentik-jentik aedes.
-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.