Categories
NASIONAL

Najib pemimpin boros satu ‘malapetaka’ bagi negara

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 1 MAC: Laporan sebuah portal berita Indonesia yang membariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai lima pemimpin terboros dunia kerana sering berbelanja mewah disifatkan sebagai satu ‘malapetaka’ bagi negara ini.

Lebih malang lagi, ia berlaku tatkala rakyat sedang berdepan pelbagai keperitan ekoran kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga barang yang melampau, ditambah hutang negara kini mencecah 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Paling borosPenulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata keadaan ini akan menjadikan Malaysia tidak lagi dipandang tinggi meskipun negara memiliki pelbagai kemajuan setaraf peringkat antarabangsa.

Katanya negara jiran baik lebih maju mahupun ke belakang berbanding Malaysia pasti mula memandang sinis terhadap pencapaian ‘membanggakan’ ini.

“Malah pelancong datang juga mungkin bukan lagi untuk menikmati keindahan pemandangan dan kesedapan makanan, tetapi lebih berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kemewahan Perdana Menterinya.

“Jika hanya dalam tempoh lima tahun berkuasa sahaja Najib sudah berjaya membariskan namanya dalam ‘kelompok lima terbaik’ ini, pastinya jika diberi lebih masa makanya lebih banyak lagi ‘pencapaian’ mengkagumkan yang mampu dilakukannya atas nama dan kuasa sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu artikel di blog.

Shabudin berkata satu lagi bentuk kelemahan yang ditonjolkan Najib ini diibaratkan sebagai perangsang supaya posisinya sebagai pemimpin tertinggi negara perlu ditukar serta-merta.

Beliau berkata rakyat pada hakikatnya sudah cukup malu dan terhina atas tindakan Najib malah kemungkinan tidak sanggup untuk berdepan pelbagai gelaran lain seperti negara bakal bankrap, hutang paling tinggi dan sebagainya.

Sebuah portal berita Indonesia, Merdeka.com dalam laporan terbarunya membariskan Najib adalah antara lima pemimpin dunia paling boros bersama Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlosconi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Korea Utara, Kim Jong-Un.

Dengan memetik laporan majalan The Heat, Najib dianggap boros kerana membelanjakan wang yang banyak bagi kos perjananan beliau dan perbelanjaan keluarganya sejak lima tahun lalu, di samping memperuntukan sejumlah besar wang lagi untuk menggaji pelbagai kumpulan konsultan dan penasihat bagi membantu pentadbirannya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.