Categories
SELANGOR

PKNS teruskan siasatan dalaman, dokumen Azmin diperlukan

Oleh Lizawati Madfa

SHAH ALAM 5 MAC : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan meneruskan siasatan dalaman terhadap anak syarikatnya, PKNS Holdings Sdn Bhd tanpa sebarang kompromi sekalipun melibatkan bekas ahli lembaga pengarahnya.

Pemangku Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah, berkata Jabatan Audit Dalaman PKNS sudah diarah menjalankan siasatan terperinci berhubung projek PJ Sentral Development (PJ Sentral).

Katanya, PKNS juga akan mendapatkan maklumat dan dokumen daripada ahli-ahli lembaga pengarah PKNS Holdings yang mewakili PKNS ketika itu iaitu Mohamed Azmin Ali dan Datin Paduka Norazlina Zakaria.

“Kita memerlukan maklumat antara lainnya untuk mengukuhkan kes rayuan PKNS di Mahkamah Rayuan bagi mengenepi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

“PKNS juga akan memfail injunksi untuk menghentikan Nusa Gapurna dari melengkapkan transaksi jualan saham PJ Sentral kepada MRCB sementara menunggu rayuan,” katanya pada kenyataan media, semalam.

LOGO-PKNSMinggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tuntutan PKNS terhadap Nusa Gapurna Development Sdn Bhd dan Malaysian Resources Corp Sdn Bhd (MRCB) bagi pelanggaran perjanjian pemegang saham ke atas pegangan dalam PJ Sentral.

Projek PJ Sentral melibatkan pembangunan komersil di kawasan seluas 9,854 ekar yang menempatkan ibu pejabat PKNS.

Pada 6 September 2007, PKNS menjual 8.05 ekar kepada Bisraya Pembinaan Sdn Bhd dan dana itu digunakan bagi membiayai pembangunan Ibu Pejabat PKNS yang baharu di tanah berbaki itu.

Anak syarikat PKNS iaitu PKNS Holdings (PHSB) kemudian menjalinkan kerjasama dengan Nusa Gapurna dan membentuk sebuah syarikat untuk membangunkan PJ Sentral dengan pegangan saham 30-70.

Bagaimanapun, Nusa Gapurna pada Februari 2013 membuat mengadakan perjanjian dengan MRCB untuk menjual 70 peratus pegangan saham dalam PJ Sentral kepada MRCB melalui ‘reverse takeover proposal’.

Pada 22 April 2013, Nusa Gapurna mengeluarkan notis kepada PHSB memaklumkan syarikat itu akan terlibat dalam penjualan saham PJ Sentral kepada MRCB dengan harga pertimbangan RM85.3 juta.

PHSB kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.