SHAH ALAM, 30 MAC: Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga yang dijadualkan berakhir 31 Mac akan dilanjutkan sehingga 30 April ini.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Pelan Kontigensi Pengagihan Bekalan Air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kerajaan Selangor, kelmarin.
“Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama masih aktif kerana Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih ditutup berikutan paras kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Priscilla berkata, bagi pengguna di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang memperoleh bekalan air melalui kedua-dua LRA berkenaan akan menghadapi catuan bekalan air seperti yang dijadualkan dalam Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama.
Bagi Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga yang membabitkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang masih diaktifkan ekoran paras empangan dan aliran air di Sungai Selangor masih tidak meningkat.
“SPLASH (Syarikat Pengeluar Air Selangor) dan Puncak Niaga masih meneruskan pengawalan dan pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates,” kata yang dipetik daripada BERNAMA.
Beliau menasihatkan pengguna supaya mengelakkan pembaziran dan tidak menggunakan air untuk tujuan tidak penting seperti mencuci kenderaan, mengisi air ke dalam kolam renang dan menyiram tanaman hiasan.