Oleh: NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 30 MAC: Demi kepentingan parti, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil keputusan mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya kini.
Hal itu ekoran tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sejak dahulu berusaha menghalang kemaraan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya dengan pelbagai cara kotor.
Dr Wan Azizah berkata, politik kotor yang diamalkan BN semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini khususnya tindakan mempergunakan Mahkamah Rayuan bagi menghalang Anwar bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, baru-baru ini.
“Kini tidak mustahil akan ada percubaan daripada Umno-BN untuk sekali lagi menafikan hak demokratik saudara Anwar untuk bertanding dan memegang jawatan Presiden PKR secara sah.
“Dengan pemahaman dan pengamatan persada politik mutakhir ini serta memahami proses kebijaksanaan yang diperlukan dalam menghadapi musuh seperti Umno-BN yang sering menggunakan taktik politik kotor, maka saya menerima cadangan beberapa anggota parti untuk menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Presiden PKR.
“Keputusan ini dibuat demi menjaga kepentingan dan masa depan parti jika dalam masa terdekat, sebelum pencalonan dimuktamadkan Anwar tidak dapat meneruskan pencalonan beliau,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Dr Wan Azizah berkata, keluarga besar PKR akan meraikan demokrasi dan menghidupkan erti reformasi dalam memilih saf kepemimpinan parti itu bagi penggal akan datang.
Dalam proses penamaan calon pemilihan pimpinan tertinggi PKR yang berakhir semalam, Dr Wan Azizah dan Anwar sama-sama dicalonkan ke jawatan Presiden PKR.
-NFN-