Categories
NASIONAL

Abdul Khalid yakin peluang menang Timbalan Presiden PKR cerah

SHAH ALAM, 14 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim percaya beliau mempunyai peluang yang sangat baik untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu, Mei ini.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan rekod pencapaian dan pengalaman beliau mentadbir Selangor sepanjang enam tahun selain sokongan daripada akar umbi.

“Jika anggota parti di Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah dan kini Pulau Pinang memberikan sokongan mereka, saya fikir peluang adalah sangat baik,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Wawancara Bersama Calon Timbalan Presiden PKR, di Butterworth, semalam.

Abdul KhalidJawatan Timbalan Presiden PKR menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Abdul Khalid dicabar penyandang jawatan itu yang juga Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan muka baharu, Datuk K Ramachandran.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, beliau sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat jika sesuatu perkara itu membawa manfaat dan kebaikan kepada rakyat terutama di Selangor.

“Saya fikir jika mahu membangunkan negara dan menyelesaikan masalah, kamu mesti cuba mencari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah itu. Malah, ada sesetengah orang yang tidak suka komunis tetapi bila tiba waktu untuk berdagang mereka bekerjasama.

“Penyelesaian saya dengan Barisan Nasional adalah memberikan yang terbaik untuk rakyat Selangor. Saya sangat gembira untuk berbuat baik dengan kawan dan musuh apabila keputusannya adalah yang terbaik untuk rakyat,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.