Categories
SELANGOR

DYMM Sultan puji usaha gigih Kerajaan Negeri bantu rakyat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 7 APRIL : Usaha gigih Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat berhadapan keperitan hidup disebabkan harga barang dan perkhidmatan yang kian meningkat dipuji DYM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda dalam titahnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ke-13 hari ini menyatakan kesemua program dan skim bantuan menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sejak Jun 2008 terbukti berjaya memenuhi matlamatnya.

dnsTitah Baginda, Kerajaan Negeri juga mahu mewujudkan lebih banyak program kebajikan, di samping menambah peruntukan kepada program terdahulu sebagai usaha meneruskan kecemerlangan untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun fahaman politik.

“Beta juga berkenan dengan program baru MES iaitu melatih anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk mereka yang tidak berminat melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk mendapat kepakaran teknikal melalui program pemerkasaan desa.

“Adalah difahamkan di peringkat permulaan ini, lima orang belia di setiap kampung bakal dilibatkan dalam kursus-kursus elektrik, sistem penghawa dingin dan Perbidanan.

“Beta memberi sokongan penuh terhadap usaha kerajaan untuk membantu golongan belia ini agar mempunyai kemahiran dan mempersiapkan diri bagi menghadapi masa hadapan yang lebih terjamin,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut memuji usaha Kerajaan Negeri membantu para ibu tunggal untuk berdikari dengan memberi pinjaman tanpa faedah kepada mereka.

Bantuan yang merujuk kepada Skim Kredit Selangor (SkimSel) dan Skim Miskin Bandar (Mimbar) itu turut diberikan kepada golongan belia dan penduduk asal untuk menceburi bidang perniagaan di kawasan kampung dan bandar.

“Beta merasa gembira kerana semakin ramai rakyat di negeri ini menyertai bidang perniagaan dan mendapat bantuan menerusi dua skim pinjaman ini,” titah Baginda.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.