Categories
SELANGOR

DYMM Sultan puji MB pentadbiran cekap Selangor selama 6 tahun

SHAH ALAM 7 APRIL : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji usaha Kerajaan Negeri menerapkan konsep nilai untuk wang (value for money) dalam pentadbirannya selama enam tahun berturut-turut.

Baginda bertitah, penerapan konsep itu memastikan perbelanjaan negeri dilakukan secara berintegriti dan berhemah serta membolehkan Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan berimbang selama enam tahun berturut-turut.

dnsTitah Baginda, dengan adanya belanjawan berimbang, Kerajaan Negeri juga tidak perlu meminjam daripada Kerajaan Pusat untuk perbelanjaan mengurus.

“Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memantau perbelanjaan Jabatan atau Agensi supaya sentiasa mematuhi tatacara penggunaan dan perbelanjaan dana yang sudah dipersetujui.

“Usaha ini jelas membuktikan Kerajaan Beta sekarang bersungguh-sungguh melaksanakan prinsip telus dan berhemah,” titah Baginda Sultan sewaktu ucapan pembukaan penggal kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali ke 13 bagi tahun 2014.

Pada masa sama, Baginda turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian ekonomi Selangor yang terus mendahului penyumbang utama ekonomi Malaysia dengan 23 peratus.

“Secara keseluruhannya, pembangunan ekonomi Negeri Selangor yang memberangsangkan terutamanya menerusi Sektor Perkhidmatan telah menyumbang 56.4 peratus kepada KDNK Selangor.

“Sektor Perkhidmatan dijangka terus menjadi pemacu ekonomi Selangor dengan aktiviti berkaitan perdagangan serta pengukuhan kemasukan pelaburan, teknologi dan tenaga profesional bagi meningkatkan sumbangan kepada KDNK negeri,” titah Baginda.

Pembangunan ekonomi Selangor juga digerakkan oleh Sektor Pembuatan mewakili 37.4 peratus KDNK negeri, diikuti Sektor Pembinaan sebanyak 4.5 peratus, Sektor Pertanian 1.6 peratus, dan Sektor Perlombongan dan Kuari sebanyak 0.1 peratus.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.