Categories
SELANGOR

DYMM Sultan: Wakil rakyat patut komited berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 7 APR : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak bercanggah dan berbalah mengenai perkara tidak berfaedah, sebaliknya menjalankan tugas dengan berhemat untuk kebaikan serta kesejahteraan rakyat.

Baginda bertitah semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu memastikan perjalanan mesyuarat Dewan Negeri Selangor (DNS) berjalan teratur, mengikuti peraturan semasa perbincangan dan berhemah serta mempunyai tatasusila yang baik.

dns“Pada hemat Beta adalah tidak wajar sekiranya terdapat wakil rakyat ataupun kakitangan awam cuba merosakkan perjalanan pentadbiran Kerajaan Selangor yang berusaha gigih membantu meringankan kos sara hidup rakyat menerusi pelbagai program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor,” titah Baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian di Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang DNS ke-13 tahun 2014, di sini hari ini.

Sultan Selangor turut meminta semua pihak termasuk penjawat awam, pimpinan masyarakat dan belia serta sektor korporat dan swasta supaya bekerja bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk melaksanakan dasar dan program pembangunan negeri.

“Ia adalah bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memacu pembangunan Negeri Selangor,” titah Baginda.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.