Oleh: NAZLI IBRAHIM
AMPANG, 13 APRIL: Islam tidak membenarkan kerajaan mengenakan cukai yang membebankan rakyat tetapi pada masa sama pemimpin negara terbabit berbelanja boros dan mengamalkan rasuah ketika memiliki sumber pendapatan yang tinggi, kata bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakop.
“Dalam Islam cukai ini bukannya tidak boleh tetapi kena tentukan untuk apa kita ingin belanja duit cukai yang dipungut ini. Ingin belanja untuk panggil artis Korea buat konsert tidak boleh atau kutip cukai untuk Perdana Menteri bersiar-siar naik jet persendirian juga Islam tidak benarkan.
“Juga kena pastikan kalau sudah tidak ada sumber lain untuk kutip hasil. Cukai komoditi dan cukai pendapatan tidakak cukup baru boleh laksana cukai yang membebankan rakyat tetapi negara kita ada Petronas dan syarikat berkaitan kerajaan ada sumber pendapatan lain yang boleh dikutip cuma kerajaan kata tidak cukup,” katanya.
Dr Rosli berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program Wacana Rakyat: Kesan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap sektor perumahan di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, semalam.
Dr Rosli berkata, walaupun Malaysia adalah negara yang kaya kerana mempunyai sumber hasil tinggi termasuk sumber minyak dan gas aslinya tetapi masih tidak mencukupi kerana amalan pembaziran tidak terkawal dan rasuah berleluasa.
“Kita sudah buat kajian kalau kerajaan amalkan tender terbuka boleh elak bocor, selamatkan duit rakyat dan duit kerajaan RM20 bilion setahun. Ini sudah cukup, kenapa ingin kenakan GST yang cuma tambah pendapatan kerajaan RM1 bilion tetapi sebenarnya jika tiada korup kita boleh dapat lebih,” katanya.
Dr Rosli juga menyifatkan dakwaan kerajaan kononnya perlaksanaan GST boleh mengekang kenaikan inflasi adalah suatu pembohongan fakta untuk memperbodohkan rakyat berikutan kos sara hidup yang tinggi pada masa kini akan semakin naik apabila GST dilaksanakan nanti.
Selain Dr Rosli, panelis lain dalam wacana terbabit adalah Pengarah Penyelidikan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Azlan Awang dan moderatornya, Dekan Fakulti Perniagaan Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Madya Dr Mohd Fuad Salleh.
-NFN-