Categories
SELANGOR

Usahawan asnaf terharu terima sumbangan LZS untuk perniagaan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SEKINCHAN, 13 APRIL: Projek perintis program usahawan khusus untuk golongan asnaf fakir dan miskin yang dianjurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) disambut baik golongan itu kerana ia ternyata mampu membantu mereka meraih pendapatan tambahan.

Kebanyakan asnaf yang ditemui ketika penyerahan lori dan motor roda tiga dalam satu upacara di Dataran Pantai, petang semalam melahirkan perasaan gembira dan terharu terhadap sumbangan yang diberikan.

Seorang asnaf, Mohd Haris Mohamed, 52, berpendapat ia adalah satu ganjaran paling berharga dalam hidupnya yang membolehkan beliau menjana lebih banyak pendapatan untuk menampung kehidupan seharian.

moh harisBeliau yang menjalankan perniagaan menjual makanan berazam untuk memanfaatkan kenderaan berkenaan (lori) sebaik mungkin selain berhasrat mengembangkan perniagaannya ke tahap lebih tinggi.

“Saya rasa bersyukur atas bantuan yang diberikan kerana ia mampu menambah baik ekonomi kami sekeluarga. Kini, saya berniaga mee rebus, mee bandung dan mee jawa mungkin selepas ini saya akan cuba keluarkan produk sendiri dalam bentuk pes,” katanya.

Seorang lagi penerima, Marhani Kamaruddin, 48, yang turut menerima lori untuk urusan penjualan makanan dan minuman berterima kasih kepada LZS atas sumbangan yang diberikan.

Beliau yang juga ibu tunggal kepada empat orang anak akan menjalankan perniagaan bersama anak sulungnya di sekitar kawasan Pelabuhan Klang.

IMG_5738 (1)“Sebelum ini, saya tidak bekerja dan terpaksa menanggung empat orang anak melalui ihsan dan sumbangan zakat, tetapi syukur selepas diberikan lori ini mampu meraih pendapatan sendiri.

“Saya harap perniagaan makanan saya akan mendapat sambutan dan berkembang luas lagi pada masa akan datang,” katanya.

Bantuan berkenaan bertujuan memperluaskan projek perintis program keusahawanan, yang mana setiap asnaf menerima motor roda tiga beserta modal pusingan dan kelengkapan perniagaan.

Seramai 10 orang asnaf fakir dan miskin menerima bantuan motorsikal roda tiga, manakala 20 orang lagi diberikan lori untuk tujuan berniaga.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.