Categories
NASIONAL

Majlis Peguam puji keputusan Mahkamah Rayuan isytihar PAA bercanggah perlembagaan

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 27 APRIL : Tindakan tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam mengisytiharkan peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) sebagai tidak mengikut perlembagaan di puji Majlis Peguam Malaysia.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong berkata dalam isu perlembagaan adalah penting setiap ahli panel memberikan pendapat masing-masing.

Nik Nazmi12Katanya, Majlis peguam setuju Seksyen 9 (5) dalam PAA adalah tidak mengikut perlembagaan apabila ia dijadikan kesalahan atas kegagalan memberi notis 10 hari kepada polis sebelum mengadakan perjumpaan itu.

“Kita juga bersetuju Seksyen 9 (1) PAA mengikut perlembagaan kerana ia memerlukkan penganjur himpunan itu memberi notis 10 hari kepada polis,” katanya dalam kenyataan media.

Leong berkata Majlis peguam sentiasa berpegang kepada Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk mengadakan perhimpunan aman.

“Hak itu amat perlu dimasukan dalam hak untuk membantah, sama ada di tempat yang ditetapkan atau berarak.

“Proviso dalam Artikel 10 (2) (b) tidak boleh diguna pakai untuk menewaskan dasar berkenaan,” katanya.

Katanya, proviso itu hanya membenarkan pihak berkuasa mengenakan sekatan mengikut keperluan atau wajar demi keselamatan negara.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan mengambil tindakan untuk membantu perhimpunan aman itu berlangsung dan dengan berbuat demikian, mengenakan sekatan diperlukan untuk menangani isu ketenteraman awam tertentu.

Leong berkata, perhimpunan yang ganas atau berniat untuk menjadi gaas tidak layak diadakan kerana hak yang dijamin mengikut Artikel 10 (1) ialah perhimpunan secara aman.

“Seksyen 9(1) PAA mengenai tempoh notis 10 hari sepatutnya dibaca untuk memberi pencerahan mengenai peruntukan perlembagaan supaya polis diberi masa yang mencukupi bagi mempertimbang, merancang dan melaksanakan tindakan membantu perhimpunan aman berlangsung,” katanya.

Katanya, perlembagaan, PAA dan Mahkamah Rayuan tidak mengiktiraf perhimpunan tidak aman sebagai hak dan tindakan boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan.

Baru-baru ini, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dibebaskan terhadap tuduhan tidak memberi notis 10 hari untuk mengadakan rapat umum, hakim mahkamah rayuan mengakui hak asas rakyat untuk berhimpun secara aman.

Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak memberikan notis 10 hari untuk mengadakan himpunan Blackout di stadium Kelana Jaya, tahun lalu, selepas pilihan raya umum berlangsung.

Nik Nazmi menghadapi risiko didenda sehingga RM10, 000 jika sabit kesalahan, berhadapan kemungkinan hilang kelayakan daripada jawatan awam yang dipegangnya.

Hakim mahkamah rayuan berkata semalam, adalah ironi untuk mengisytiharkan perhimpunan aman sebagai haram kerana ia tidak dinyatakan dalam PAA.

Keputusan penting dan bersejarah yang dibuat hakim, Datuk Mohd Arif Mohd Yusof, Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer itu akan siap secara bertulis pada Isnin.

Ketiga-tiga hakim berkenaan adalah peguam sebelum dilantik menyertai panel hakim.

Ahli persatuan peguam turut memuji langkah yang diambil tiga hakim mahkamah rayuan itu untuk menyampaikan penghakiman secara berasingan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.