Categories
SELANGOR

MB: Langat 2 bukan punca catuan air

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) yang menyalahkan Kerajaan Negeri tidak membenarkan projek Langat 2 dijalankan menyebabkan catuan air berlaku.

Abdul Khalid berkata, masalah catuan air bukan berlaku disebabkan projek Langat 2 kerana ia tidak banyak membantu menyelesaikan masalah ekoran hanya mampu membekalkan air 1,000 juta liter sehari (JLH) sahaja.

“Saya ingin ingatkan Langat 2 itu projek besar tetapi tidak banyak yang kita dapat tetapi perbelanjaan perlaksanaannya tinggi. Kita lakukan keputusan ini bersama Exco, jadi tidak guna kita bergaduh kerana 1,000 JLH yang tidak akan selesaikan masalah rakyat Selangor.

04“Kita cari jalan untuk selesaikan bersama, saya terima Langat 2 tetapi kamu mesti terima projek saya iaitu Hybrid Off River Augmentation System (HORAS). Tidak payah bergaduh kerana ia sudah selesai,” katanya

Abdul Khalid berkata, projek HORAS lebih cepat disiapkan berbanding Langat 2 yang hanya mampu siap dalam tempoh tiga tahun.

“Namun, Kerajaan Pusat tidak mampu berikan jaminan dalam tiga tahun boleh siap kerana terowong itu sahaja memakan masa yang lama. Sebab itu kita laksanakan HORAS iaitu projek air tasik bawah tanah.

“Projek ini mengambil masa dua tahun setengah untuk dipersetujui semua pihak termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Malah untuk kajian sahaja ia menelan kos RM1.5 juta,” katanya.

empangan -mbAbdul Khalid berkata, pertikaian catuan air tidak seharusnya timbul kerana ia dinilai dan diputuskan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Khusrin Munawi.

“Setiap hari Khusrin mengadakan mesyuarat bersama Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan bekas pakar untuk menyelesaikan masalah ini. Kita mahu masalah pencemaran yang menyebabkan beberapa kawasan loji diselesaikan dan tidak mahu kawasan itu langsung tiada air.
“Itu sebab kita catu air. Ia bukan satu perkara yang kita tidak endahkan, semua ada rekod dan sanggup bina empangan supaya perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Projek HORAS yang terletak di Bestari Jaya dijangka siap pada Julai 2015 dan mampu membekalkan air bersih 600 hingga 700 JLH bagi fasa pertama, manakala bagi fasa kedua dijangka membekalkan 5,000 JLH.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.