Categories
SELANGOR

MBSA sasar 100,000 kg barangan kitar semula dikumpul

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 2 APRIL : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mensasarkan sebanyak 100,000 kilogram barangan kitar semula dapat dikumpul dalam program Kitar Semula peringkat sekolah kawasan pentadbiran MBSA tahun ini.

Program kali kelapan itu turut dibuka kepada kepada peringkat pra sekolah selain sekolah rendah dan menengah.

IMG_7955aInisiatif berterusan itu diadakan dengan kerjasama F&N Beverages Marketing Sdn Bhd yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat khususnya pelajar terhadap kepentingan amalan kitar semula seterusnya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata pihaknya juga menjangkakan lebih ramai penyertaan daripada sekolah tahun ini ekoran hadiah yang ditawarkan keseluruhannya sebanyak RM17,250.

“Jumlah penyertaan daripada sekolah ini meningkat dari setahun ke setahun. Ia membuktikan bahawa segala usaha yang kita jayakan bersama menunjukkan impak yang membanggakan.

“Pada 2013, sebanyak 21 buah sekolah terdiri daripada 12 buah sekolah kebangsaan dan sembilan buah sekolah menengah mengambil bahagian, oleh itu tahun ini, saya harap penyertaan ini dapat dipertingkatkan dan membabitkan semua peringkat.

“Tahun ini, kita perkenalkan kategori peringkat tadika, ini merupakan satu usaha yang baik kerana ia perlu dipupuk di peringkat awal supaya menanam minat minat dan budaya kitar semula,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program itu.

Hadir sama, Penasihat Hal Ehwal Korporat, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Datuk Kamal Harun dan Pengurus Persekitaran Tetra Pak Malaysia Sdn Bhd, Manjula Murugesan.

Pertandingan itu terbuka kepada semua sekolah bawah pentadbiran MBSA yang dikehendaki mengumpul barangan yang boleh dikitar semula seperti kertas, aluminium dan plastik.

Bagi hadiah bagi sekolah rendah dan menengah tempat pertama akan menerima wang tunai RM1,500 serta sijil penyertaan manakala tempat kedua sebanyak RM1,300 serta sijil, tempat ketiga RM1,200, ke empat RM1,100 dan tempat ke lima RM1,000 serta sijil penyertaan dan saguhati akan menerima wang tunai RM200.

Selain itu, bagi kategori tadika pula, akan memenangi wang tunai RM300 bagi tempat pertama, RM200 tempat kedua dan RM100 bagi tempat ketiga serta saguhati RM50 beserta hamper.

Manakala tiga anugerah khas akan ditawarkan kepada pemenang bagi sekolah menengah dan rendah iaitu kutipan aluminium tertinggi, plastik tertinggi serta Anugerah Tetra Pak Tertinggi yang bernilai RM600 bagi setiap anugerah.

Untuk rekod, tahun lalu, pertandingan itu berjaya mengumpul berat kutipan kitar semula sebanyak 67,655 kilogram bahan kitar semula.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.