Categories
SELANGOR

MB: ‘Saya tidak campur urusan editorial Selangor Kini’

Oleh: LiZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan beliau tidak mencampuri urusan editorial akhbar rasmi Kerajaan Negeri, Selangor Kini.

Beliau memaklumkan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pengurusan editorial Selangor Kini selaras dengan prinsip Kerajaan Negeri yang sentiasa menjunjung dasar kebebasan akhbar.

Katanya, Kerajaan Negeri juga bersedia melakukan ‘indicator’ bagi menunjukkan pecahan berita yang dikeluarkan akhbar berkenaan.

03“Secara kerjanya, saya tidak mencampuri urusan editorial kerana kita percaya pada dasar kebebasan akhbar.

“Tetapi, saya akan mengadakan perbincangan bersama ahli lembaga pengarah untuk mengesyorkan penyediaan data berhubung berapa banyak (berita) Menteri Besar keluar dan membentangkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafie berhubung dakwaan terdapat dasar yang bersifat selektif dalam pemilihan berita dengan mengenepikan berita yang disebut sebagai ‘kritikal’.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang berkata, beliau akan mencadangkan kepada pihak pengurusan Selangor Kini mewujudkan ruangan khas untuk memberi peluang setiap wakil rakyat muncul dalam akhbar itu.

Sementara itu, menjawab soalan lain, beliau berkata akan mengarahkan kos lewat bayar disertakan bersama bayaran tunggakan kos pengedaran akhbar Selangor Kini.

“Saya akan minta diselesaikan kos lambat bayar kerana daripada segi peruntukan ada, maka kita mesti kenakan kos untuk kelewatan ini sebagai satu bentuk disiplin.

02“Kita mahukan perkhidmatan pengedaran terbaik, tetapi tidak bayar, tatacara ini mesti diubah,” katanya.

Terdahulu, ADUN Taman Medan, Haniza Talha mengemukakan aduan bayaran kos pengedaran Selangor Kini di pejabat Khidmat DUN tertunggak sejak beberapa bulan.

Abdul Khalid sebelum itu memaklumkan bayaran RM0.10 diberikan kepada setiap edaran nashkah akhbar rasmi berkenaan yang kebiasannya diletakkan di masjid dan Pusat Khidmat DUN.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.