Oleh: AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 9 APRIL: Sesi perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini mencuri tumpuan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail buat pertama kali berucap bagi membahaskan titah Tuanku Sultan Selangor.
Beliau sekali lagi mempertahankan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus menjadi sasaran serangan yang dibangkitkan pelbagai pihak termasuk Pembangkang DUN Selangor dalam isu fitnah II, MH370 dan pertikaian peranan beliau sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
Wan Azizah dengan tenang meminta dewan menyelami sendiri perasaan mereka jika berada ditempat beliau sekeluarga yang terus menjadi mangsa fitnah, sejak 16 tahun lalu.
“Kalau tuan berada di tempat saya, apa perasaan anda? Saya ada anak dan keluarga,” katanya yang merujuk kepada kes Fitnah II yang dilemparkan terhadap Anwar.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh pujian yang dizahirkan Sultan Selangor yang gembira dengan peningkatan ekonomi Selangor sebanyak enam peratus seperti yang dititahkan tuanku dalam ucapannya, pada 7 April lalu.
Katanya, angka berkenaan adalah bukti jelas Anwar melakukan tugas selaku Penasihat Ekonomi Negeri dalam memastikan ekonomi Selangor meningkat waalupun dibayar dengan gaji RM1.
Selain itu, Wan Azizah turut menegur Kerajaan Negeri supaya mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan usaha memastikan kaedah pengurusan sisa pepejal dapat ditambah baik.
Hal itu kerana beliau melihat sendiri keadaan taburan sampah sarap pada tempoh berkempen di DUN Kajang dan percaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat diperkasakan melalui kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri.
Tambahnya, jalan penyelesaian masalah aliran trafik untuk jangka pendek di kawasan Kajang juga perlu dibuat sementara menunggu projek MRT siap sepenuhnya.
-NFN-