Categories
SELANGOR

Bekas jaguh badminton negara bakal beraksi di Piala Foo Kok Keong

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengajak orang ramai untuk hadir menyaksikan secara percuma aksi hebat barisan bekas pemain badminton tanah air beraksi dalam Kejohanan Badminton Jemputan Antarabangsa Piala Foo Kok Keong 2014.

Datuk Bandar, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata kejohanan yang akan diadakan pada 6 hingga 8 Jun ini antara lain bakal membariskan pemain seperti Foo Kok Keong sendiri, Rahman Sidek, Razif Sidek, Soh Goon Chup, Yap Yee Hup, Tan Kim Soon dan Lim Pek Siah.

Selain itu, kejohanan yang memasuki tahun ketiga ini juga akan disertai barisan bekas pemain jemputan daripada luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

05“Kejohanan ini dianjurkan bagi menghargai sumbangan dan komitmen Foo Kok Keong, pemain Selangor dan Malaysia yang pernah merangkul Piala Thomas pada tahun 1992 dahulu.

“Harapan saya supaya pertandingan ini dapat memberikan kepuasan bukan sahaja kepada pemain tetapi juga peminat sukan badminton yang merindui aksi pemain yang pernah mengharumkan nama negara,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Timbalan Datuk Bandar, Mokhtar Hani; pengerusi kejohanan, Soon Ee Hooi serta barisan pemain yang menyertai kejohanan seperti Kok Keong, Rahman dan Pek Siah.

Kejohanan yang akan diadakan di Gelanggang Badminton, Kelab Shah Alam di Seksyen 13 itu nanti mempertaruhkan hadiah wang tunai sehingga RM40,000 untuk dimenangi.

01Terdapat lima kategori dipertandingkan iaitu Beregu Campuran Terbuka (pemain lelaki 50 tahun ke atas dan wanita 30 tahun ke atas), Beregu Lelaki Terbuka (30 tahun ke atas), Beregu Lelaki Terbuka Gabungan Umur 90 tahun (minimum umur 45 tahun ke atas), Beregu Lelaki Gabungan Umur 100 tahun (minimum umur 45 tahun ke atas) dan Beregu Lelaki Gabungan Umur 110 tahun (minimum umur 50 tahun ke atas).

Untuk pertanyaan lanjut berhubung kejohanan itu, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Belia & Sukan MBSA di talian 03-551- 5133 sambungan 1435 atau 1302 atau 1385 atau boleh juga menghubungi pengerusi kejohanan di talian 012-339 9466 (Ee Hooi).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.