Categories
NASIONAL

Beng Hock bukan mati dibunuh, jadi?

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Mahkamah Rayuan Putrajaya diberitahu bahawa kematian pembantu politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock bukan kes bunuh kerana mendakwa tiada sebarang unsur jenayah dalam kematiannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas berhujah bahawa berdasarkan keterangan saksi ketika inkuiri dijalankan di Mahkamah Koroner, tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian Beng Hock.

“Oleh itu, Hakim Rayuan (Mahkamah Tinggi) tidak terkhilaf apabila bersetuju dengan keputusan Mahkamah Koroner bahawa kematian bukan homisid dan keterangan pakar berkenaan “pre-fall injuries” tidak menyokong pencarian homisid,” hujahnya dalam rayuan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, di Putrajaya, semalam.

 teoh beng hock mak kakakMemetik BERNAMA, Abazafree berkata, berdasarkan keterangan itu juga tidak ada kepastian punca sebenar yang menyebabkan mendiang jatuh ke atas koridor tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam.

Katanya, keputusan Hakim Rayuan yang mengekalkan keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner adalah tepat dan betul di sisi undang-undang.

Abazafree berhujah bahawa jelas daripada keterangan saksi itu juga tidak ada sebarang keterangan bahawa kematian Beng Hock diakibatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau sesiapa sahaja.

Beliau berkata, sebarang pihak tidak pernah mempertikaikan bahawa punca kematian mendiang adalah akibat daripada “multiple injuries due to fall from height” (kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi) berkenaan tanda kecederaan pada bahagian lehernya.

Hujahnya lagi, walaupun ada keterangan daripada ahli kimia Dr Seah Lay Hong berkenaan “one other unknown male contributor” (seorang penyumbang lelaki yang tidak diketahui) dikesan pada tali pinggang mendiang, tetapi tiada sebarang keterangan langsung yang mengaitkan bahawa adanya pihak ketiga yang mengakibatkan kematian mendiang.

Teoh-Beng-Hock-as-he-wasBeliau berkata, berdasarkan keterangan juga tiada sebarang tanda pergelutan berlaku atau senjata ditemui di tempat kejadian.

“Oleh itu, tiada keterangan yang menunjukkan bahawa mendiang dibunuh atau adanya tekanan juga ugutan yang membawa kepada kematian si mati,” katanya.

Mohamad Abazafree berkata demikian dalam rayuan dikemukakan oleh Teoh Meng Kee, iaitu abang kepada mendiang terhadap keputusan Mahkamah Koroner, pada 5 Januari 2010 yang memberikan keputusan terbuka bahawa kematian Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri atau dibunuh dan tiada pihak ketiga terbabit dalam kematian itu.

Perkembangan mengejutkan itu merungkai banyak persoalan dan misteri berhubung kematian mangsa yang akhirnya disimpulkan sebagai bukan kes bunuh.

Beng Hock, 30, pembantu kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, tempat terletaknya Ibu Pejabat SPRM Selangor sebelum ini, pada 16 Julai 2009.

Selepas Mahkamah Koroner memberikan keputusan terbuka itu, Meng Kee memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi keputusan itu disemak semula, namun Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan itu, pada 1 Disember 2011.

Meng Kee memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu, pada 2 Februari 2013.

Pendengaran di hadapan Hakim Mohamad Ariff yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer bersambung hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.