Categories
AGENDA NASIONAL

Inkues Nora Anne ditangguh, saksi kontak rapat pesakit Covid-19

SEREMBAN, 19 OKT: Prosiding inkues bagi menentukan kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban terpaksa ditangguh selepas seorang saksi didapati merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam kepada keluarga remaja itu, S Sakthyvell ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pemohonan penangguhan itu dibuat oleh pasukan pengendali inkues, pagi ini.

Beliau berkata bagaimanapun, prosiding itu akan diteruskan seperti biasa esok dengan saksi akan memberi keterangan menerusi aplikasi Zoom.

“Saya hanya mendapat pemakluman mengenai perkara itu pada 5.30 pagi tadi oleh penolong pendaftar mahkamah… tetapi dimaklumkan saksi berkenaan telah dikuarantin dan telah jalankan ujian calitan serta masih menunggu keputusan. Saksi itu yang kontak rapat dengan pesakit juga telah membuat satu mesyuarat dengan pihak pengendali inkues minggu lepas.

“Sekarang, kami sedang menunggu keputusan, kalau positif mungkin pihak pengendali terpaksa buat ujian calitan. Itulah alasan pihak pengendali kerana mereka juga baru tahu saksi merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 semalam,” katanya hari ini.

Beliau berkata mahkamah juga memaklumkan sebarang perkembangan prosiding akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Esok, seramai tiga saksi daripada Polis Diraja Malaysia akan memberi keterangan menerusi Zoom.

Prosiding inkues berkenaan berlangsung di hadapan Koroner Maimoonah Aid dan setakat ini, seramai 19 saksi telah dipanggil.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga syak Nora Anne diculik, minta polis periksa tiga rumah

SEREMBAN, 25 OGOS: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu sehari selepas kehilangan Nora Anne Quoirin, iaitu pada 5 Ogos, keluarganya pernah memaklumkan kepada polis yang mereka mengesyaki anak mereka diculik.

Saksi ketiga prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata mereka juga meminta polis memeriksa tiga buah rumah yang terletak di luar kawasan The Dusun Resort yang dipercayai oleh keluarganya sebagai lokasi keberadaan mangsa.

Resort itu merupakan tempat penginapan Nora Anne dan keluarga sebaik tiba di negara ini pada 3 Ogos 2019 untuk percutian selama dua minggu.

“Ahli keluarga Nora Anne memberi maklumat dan menjangkakan anak mereka yang hilang berada di kawasan sekitar. Saya memberi harapan bahawa saya akan penuhi permintaan keluarga berkenaan dengan pencarian di tiga buah rumah di kawasan sekitar seperti yang diminta ahli keluarga.

“Saya telah minta pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Daerah Nilai untuk membuat pencarian di tiga buah rumah itu,” katanya semasa memberikan keterangan pada inkues berkenaan yang memasuki hari kedua, hari ini.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad mengapa pemeriksaan hanya spesifik kepada tiga rumah, beliau berkata tindakan itu adalah seperti yang diminta oleh keluarga.

Menurut saksi itu usaha mencari remaja istimewa tersebut tidak terhenti di situ tetapi dilipatgandakan menerusi operasi pencarian melibatkan dua pasukan merangkumi kawasan seluas 12 ekar (4.86 hektar) di sekitar kawasan resort selain sekatan jalan raya.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga bahawa remaja yang hilang itu tak boleh berjalan lebih 20 kaki (enam meter). Saya beranggapan kawasan pencarian 12 ekar adalah memadai dengan maklumat yang saya dapati.

“Selain itu, memandangkan keadaan fizikal dan tahap pemikiran mangsa seperti kanak-kanak berumur 7 tahun, saya ambil inisiatif buat sekatan jalan raya dengan andaian mangsa mungkin menahan atau menumpang kenderaan atau motosikal keluar dari kawasan,” katanya.

Mahkamah turut diberitahu operasi mencari Nora Anne yang dilakukan sebaik sahaja remaja berkenaan dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lepas dengan peringkat awal pencarian melibatkan kawasan sekitar villa penginapan mangsa dan keluarga.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid itu dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula semalam hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 Sept ini.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Sembilan hari selepas kehilangannya iaitu pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inkues Nora Anne bermula hari ini

SEREMBAN, 24 OGOS: Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, akan didengar di Mahkamah Koroner di Kompleks Mahkamah Seremban, hari ini.

Prosiding berkenaan akan dijalankan dihadapan Koroner Maimoonah Aid, bermula pukul 9 pagi.

Bagi perjalanan inkues, mahkamah menetapkan hanya sembilan wartawan dibenarkan berada di dalam galeri awam untuk mengikuti dan membuat liputan kes berkenaan setelah mengambil kira faktor penjarakan fizikal yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Wakil media tempatan dari pelbagai agensi dilihat mula berkumpul di pekarangan mahkamah seawal 8 pagi bagi mengikuti prosiding kes yang mendapat liputan meluas itu.

Turut kelihatan ialah Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Nor Marzukee Besar.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat lepas dipetik sebagai berkata Badan Kehakiman Malaysia akan menyiarkan prosiding berkenaan secara langsung di portal rasmi dan media sosial rasmi badan berkenaan dan orang ramai boleh menyaksikannya, mulai 9 pagi.

Prosiding berkenaan akan berlangsung selama dua minggu bermula hari ini sehingga 28 Ogos dan bersambung pada 1 hingga 4 Sept dengan seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Pada 13 Ogos lepas, Koroner Maimoonah bersama beberapa pihak berkepentingan dalam kes berkenaan meluangkan masa selama tiga jam melawat lokasi kejadian untuk melihat secara terperinci bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang kejadian itu.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai, kira-kira 60 kilometer (km) di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne, ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 km dari resort penginapannya bersama keluarga pada 13 Ogos tahun lepas, susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan.

Laporan awal bedah siasat menyatakan, kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus, yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Polis: Ujian DNA tulang pinggul sah Anna Jenkins

GEORGE TOWN, 11 OGOS: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas tulang pinggul yang ditemukan di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, di sini pada 24 Jun lepas sepadan dengan DNA Anna Jenkins, warga Australia yang dilapor hilang di negeri ini, tiga tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kimia berhubung ujian itu semalam dan mendapati sampel DNA diberikan anak lelaki wanita tersebut yang datang ke Pulau Pinang, Julai lepas didapati sama dengan DNA tulang pinggul berkenaan.

“Berikutan keputusan DNA itu, polis meneruskan siasatan lanjut berhubung kes tersebut termasuk mengenal pasti punca wanita berkenaan mati dan pelbagai (aspek) lagi. Saya difahamkan anak lelaki mangsa masih berada di Pulau Pinang bagi mengikuti perkembangan (siasatan).

“Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman juga akan ke lokasi penemuan tulang pinggul dan beberapa barangan milik mangsa untuk membina semula siasatan (berdasarkan bukti yang diperoleh) esok bagi menjalankan pemeriksaan lebih terperinci serta mengesan barang kes yang mungkin masih ada di situ yang boleh membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Penemuan tulang pinggul, longgokan pakaian dan barangan peribadi yang dipercayai milik mangsa ditemukan seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada 4 petang, 24 Jun lepas.

Ia ditemukan berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan kelihatan di Jalan Scotland.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata polis juga tidak menolak kemungkinan memohon inkues kes itu jika pihaknya tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian wanita tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut polis di lokasi penemuan tulang pinggul itu pada 7 Ogos lalu, telah menemui seketul objek seperti tulang dan ia telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya untuk dianalisa.

“Analisis bertujuan mengetahui sama ada ia juga tulang wanita tersebut. Kami masih menunggu keputusannya,” katanya.

Pada 13 Dis 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja hotel memesan perkhidmatan e-hailing untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu meminta pemandu menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah.

Sejak itu dia dilaporkan hilang dan laporan polis dibuat oleh suaminya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Adib: Cadangan buka semula inkues, tuduh 12 suspek

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Kertas siasatan berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lepas, disusuli dengan beberapa cadangan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata rujukan semula kes berkenaan antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terlibat dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Hamzah berkata antara cadangan yang dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

“Ia akan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah dan tindakan ini susulan keputusan yang dicapai Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lepas.

“Mahkamah memutuskan punca kematian Adib bukan disebabkan kemalangan tetapi perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih suspek,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata berdasarkan keputusan itu, Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan selari arahan Jabatan Peguam Negara dan mengumpul bukti yang ada untuk dikemukakan semula kepada pihak pendakwaan.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AG akan tentukan sama ada perlu inkues kematian Nora Anne

SEREMBAN, 14 OGOS: Hasil laporan bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan inkues.

Peguam yang mewakili keluarga Nora Anne, Sankara Nair berkata, ia adalah prosedur biasa yang perlu dilakukan dan Peguam Negara akan menentukan tindakan lanjut.

“Secara prosedur apa yang akan berlaku ialah satu salinan laporan bedah siasat akan diserah kepada pejabat AG (Peguam Negara) dan terserah kepada AG membuat keputusan atau mengarahkan tentang keperluan mengadaka inkues.

“Biasanya kematian secara mengejut seperti ini akan membawa kepada inkues tetapi sekali lagi ia bergantung kepada bukti yang dibentangkan dalam laporan bedah siasat dan siasatan lain oleh polis,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya kehadiran keluarga Nora Anne di Jabatan Perubatan Forensik HTJ pagi ini, Sankara berkata ia bertujuan mengesahkan identiti mayat itu sekali lagi sebelum bedah siasat dimulakan.

Mengulas mengenai keadaan keluarga Nora Anne, Sankara berkata setakat ini keluarga masih berada dalam keadaan trauma dan bersedih.

“Kami belum membincangkan rancangan seterusnya … Saya rasa mereka masih menimbangkan tindakan seterusnya dan mereka masih bersedih dan saya fikir ia belum ada dalam fikiran mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata proses bedah siasat mayat Nora Anne akan mengambil masa lebih 3 jam.

Semalam, mayat wanita berkulit cerah ditemui pada 1.57 tengah hari dan disahkan anggota keluarganya sebagai Nora Anne, remaja yang dilapor hilang dari sebuah resort, di Pantai, Seremban awal bulan ini.

Nora Anne,15, bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu di sini dan remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada pukul 8 pagi hari berikutnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prosiding inkues Adib ditutup hari ini

SHAH ALAM, 24 JUL: Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, ditutup hari ini selepas tiada lagi saksi yang akan dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah berpuas hati dengan semua keterangan daripada saksi yang di panggil sebelum ini.

“Setelah meneliti keterangan sedia ada, mahkamah tidak akan memanggil saksi lain,” katanya ketika membaca keputusan untuk menutup prosiding itu, di sini.

Bagaimanapun, Mahkamah koroner belum menetapkan tarikh keputusan inkues berkenaan.

Dalam prosiding hari ini, Rofiah turut membenarkan pihak berkepentingan untuk mengemukakan hujahan bertulis.

Katanya, hujahan berkenaan perlu dikemukakan kepada mahkamah sebelum atau pada 21 Ogos depan.

Sehubungan itu, hanya keluarga Muhammad Adib yang bercadang memasukkan hujahan bertulis tersebut.

Prosiding inkues bagi mencari punca kematian Muhammad Adib telah diadakan selama 41 hari bermula 11 Februari lepas.

Sepanjang prosiding itu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil selain 137 eksibit dikemukakan.

Antara yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saksi kongsi eksperimen corak mirip kecederaan Adib

SHAH ALAM, 17 APRIL: Corak yang terhasil pada patung model getah berikutan hentaman pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), mirip dengan kecederaan sagat dan lebam pada dada kanan Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, 62, berkata dalam proses lakonan semula itu, patung model getah itu dipegang oleh seorang anggota bomba pada jenang pintu van EMRS sebelum pintu itu ditolak dengan sekuat hati.

Beliau berkata patung model (dummy) berwarna jingga digunakan dengan dicat fabrik hitam pada bahagian pintu van EMRS.

“Kita tolak sekuat hati objek ke pintu EMRS dan menghasilkan corak yang berpadanan.

“Kita (swing) hayun pintu dengan cepat kepada dummy dan dummy itu juga ditarik keluar. Lepas itu kita match (padankan) corak pada dada kanan mangsa,” katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Hamdan Hamzah pada prosiding inkues di sini hari ini.

Saksi ke-29 berkata, untuk mendapat luka sempurna seperti dialami Muhammad Adib, seseorang itu perlu ditendang sekuat hati ke pintu van EMRS.

Dalam pada itu, Prof Dr Shahrom turut menolak andaian bahawa bahu jalan punca kepatahan pada rusuk kanan Muhammad Adib.

Katanya, berdasarkan kepada rekonstruksi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beliau melawat sendiri di tempat kejadian, tiada benda yang menonjol di sepanjang jalan berkenaan.

“Saya cari sepanjang-panjang bahu jalan kalau ada tombol di bahu jalan, jadi sepanjang-panjang jalan saya tengok tidak ada yang menonjol untuk menyebabkan luka sagat di tengah dada yang bersesuaian dengan tombol getah,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Pendengaran inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung pagi Jumaat. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Keluarga mohon bedah siasat mangsa kes tembakan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 22 SEPT: Inkues dan siasatan menyeluruh membabitkan kes tembakan dilepaskan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pagi ini.

Ia susulan kes kematian Mohamad Shahril Sugumaran Abdullah dan S Uvarajan dalam satu sekatan jalan raya, di Lebuh Raya Selayang-Kepong, pada 19 Ogos lalu.

Peguam, M Visvanathan berkata, permohonan inkues secara serentak melibatkan kedua-dua mangsa dibuat bagi membenarkan proses bedah siasat kali kedua dijalankan.

“Permohonan inkues dibuat terhadap mangsa, Shahril Sugumaran membolehkan supaya kubur mangsa digali untuk kebenaran proses bedah siasat kali kedua.

img_0013“Cara ini sahaja dapat mengenalpasti punca sebenar kes kematian mangsa. Adakah benar mangsa ditembak mati atau dicederakan,” katanya pada sidang media di Pejabat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), hari ini.

Pendengaran lanjutan permohonan inkues akan didengar semula pada 7 Oktober ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sebelum ini, keluarga mangsa mendakwa wujud pertikaian berhubung fizikal mayat kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan selain kesan tembakan.

“Ia sesuatu yang amat mencurigakan apabila bukan hanya kesan tembakan pada mangsa tetapi wujud kecederaan lain pada anggota tubuh badan mangsa. Ini menimbulkan kecurigaan status sebenar kematian kedua-dua mangsa, adakah dakwaan polis itu benar atau sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun, polis mendakwa tembakan dilepaskan selepas kenderaan Proton Waja dipandu mangsa dalam keadaan mencurigakan, sebelum kedua-dua mangsa melepaskan tembakan ke arah polis.

Ketika kejadian, pihak polis menjumpai 11 paket dadah, dua pistol, sembilan telefon bimbit dan dua kad pengenalan yang dipercayai bukan milik mangsa.

Sementara itu, Pengarah Esekutif SUARAM, Sevan Doraisamy mennggesa siasatan menyeluruh dijalankan bagi menuntut keadilan kepada keluarga kedua-dua mangsa.

“Perkara ini tidak boleh dipandang enteng dan perlu disiat dengan telus pada kadar segera agar keadilan dapat diketahui. Jika terdapat bukti kematian kedua-dua kematian berpunca daripada salah guna kuasa polis, perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Beng Hock bukan mati dibunuh, jadi?

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Mahkamah Rayuan Putrajaya diberitahu bahawa kematian pembantu politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock bukan kes bunuh kerana mendakwa tiada sebarang unsur jenayah dalam kematiannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas berhujah bahawa berdasarkan keterangan saksi ketika inkuiri dijalankan di Mahkamah Koroner, tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian Beng Hock.

“Oleh itu, Hakim Rayuan (Mahkamah Tinggi) tidak terkhilaf apabila bersetuju dengan keputusan Mahkamah Koroner bahawa kematian bukan homisid dan keterangan pakar berkenaan “pre-fall injuries” tidak menyokong pencarian homisid,” hujahnya dalam rayuan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, di Putrajaya, semalam.

 teoh beng hock mak kakakMemetik BERNAMA, Abazafree berkata, berdasarkan keterangan itu juga tidak ada kepastian punca sebenar yang menyebabkan mendiang jatuh ke atas koridor tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam.

Katanya, keputusan Hakim Rayuan yang mengekalkan keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner adalah tepat dan betul di sisi undang-undang.

Abazafree berhujah bahawa jelas daripada keterangan saksi itu juga tidak ada sebarang keterangan bahawa kematian Beng Hock diakibatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau sesiapa sahaja.

Beliau berkata, sebarang pihak tidak pernah mempertikaikan bahawa punca kematian mendiang adalah akibat daripada “multiple injuries due to fall from height” (kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi) berkenaan tanda kecederaan pada bahagian lehernya.

Hujahnya lagi, walaupun ada keterangan daripada ahli kimia Dr Seah Lay Hong berkenaan “one other unknown male contributor” (seorang penyumbang lelaki yang tidak diketahui) dikesan pada tali pinggang mendiang, tetapi tiada sebarang keterangan langsung yang mengaitkan bahawa adanya pihak ketiga yang mengakibatkan kematian mendiang.

Teoh-Beng-Hock-as-he-wasBeliau berkata, berdasarkan keterangan juga tiada sebarang tanda pergelutan berlaku atau senjata ditemui di tempat kejadian.

“Oleh itu, tiada keterangan yang menunjukkan bahawa mendiang dibunuh atau adanya tekanan juga ugutan yang membawa kepada kematian si mati,” katanya.

Mohamad Abazafree berkata demikian dalam rayuan dikemukakan oleh Teoh Meng Kee, iaitu abang kepada mendiang terhadap keputusan Mahkamah Koroner, pada 5 Januari 2010 yang memberikan keputusan terbuka bahawa kematian Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri atau dibunuh dan tiada pihak ketiga terbabit dalam kematian itu.

Perkembangan mengejutkan itu merungkai banyak persoalan dan misteri berhubung kematian mangsa yang akhirnya disimpulkan sebagai bukan kes bunuh.

Beng Hock, 30, pembantu kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, tempat terletaknya Ibu Pejabat SPRM Selangor sebelum ini, pada 16 Julai 2009.

Selepas Mahkamah Koroner memberikan keputusan terbuka itu, Meng Kee memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi keputusan itu disemak semula, namun Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan itu, pada 1 Disember 2011.

Meng Kee memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu, pada 2 Februari 2013.

Pendengaran di hadapan Hakim Mohamad Ariff yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer bersambung hari ini.