Categories
SELANGOR

Biaya projek MRT berbilion ringgit, gagal sedia hub selesa pemandu bas

Oleh: NORHAYATI UMOR

PUCHONG, 9 MEI : Beberapa pemandu sebuah syarikat pengangkutan bas transit tertekan apabila terpaksa menjadikan pondok kecil di kawasan paya sebagai tempat rehat di Puchong Prima, di sini, sejak tujuh tahun lalu.

Mereka mendakwa terpaksa menjadikan pondok itu sebagai tempat rehat ekoran syarikat gagal menyediakan hub khusus untuk menempatkan bas dan bilik khas bagi tempat berehat pemandu.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, 18 pemandu terbabit terpaksa tinggal di sebuah pondok kayu yang kotor dan usang, selain kawasan persekitaran yang terdedah dengan ancaman binatang berbisa.

02Koordinator lalu lintas syarikat terbabit, Nor Azman Seteh, berkata pihaknya berharap syarikat lebih prihatin dengan kebajikan pekerja mereka kerana pemandu yang keletihan kerana bekerja sejak jam 5 pagi hingga malam perlu sebuah tempat khas dengan segera untuk mandi, berehat dan makan.

“Kami di sini berehat bertemankan tikus dan ular. Bila musim hujan, kami juga takut pondok kayu ini runtuh dan binatang berbisa yang banyak.

“Dengan waktu bekerja yang padat, kami tiada masa rehat yang cukup. Contohnya, di sini 16 pemandu memandu untuk laluan utama dan dua lagi untuk laluan tempatan.

“Di dalam bas pula, ruang yang disediakan majikan sebagai tempat rehat pemandu kedua hanya kerusi seperti penumpang lain, jadi kami memang ingin satu ruang yang selesa untuk berehat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

10Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han, berkata masalah itu bukan perkara yang sukar diselesaikan kerajaan kerana kos untuk menyediakan hub untuk keselesaan pemandu tidak mahal jika dibandingkan dengan projek MRT yang menelan kos berbilion ringgit.

“Kita sedia maklum, syarikat ini kaya. Jika projek MRT boleh dibiayai berbilion ringgit kenapa perkara ini dipandang remeh.

“Jika pemandu tidak mendapat rehat secukupnya, bagaimana mereka hendak melaksanakan tugas dengan baik. Tempat rehat yang selesa amat perlu, bukan mewah tetapi tidak juga hanya guna papan untuk dijadikan pondok.

“Kita risau jika mereka tidak dapat keselesaan kerana kurang rehat, ia boleh mengakibatkan keselamatan penumpang tergugat,” katanya yang melawat tempat rehat itu bersama ADUN Bukit Gasing, R Rajiv.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.