Categories
AGENDA NASIONAL

Pemandu bas wajib daftar, carum Perkeso – menteri

PUTRAJAYA, 25 FEB: Semua pemandu bas yang bekerja sendiri diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan pelaksanaan Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Pemandu Bas) (Pindaan) 2021.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, pemandu bas boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Saravanan berkata sehingga semalam, seramai 81,331 pencarum aktif yang bekerja sendiri direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS Perkeso, termasuk 1,346 pemandu bas.

Sehingga kini, katanya sebanyak RM2.35 juta faedah SKSPS telah dibayar kepada orang bekerja sendiri termasuk orang tanggungan mereka apabila pencarum mengalami kemalangan atau meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

“Selaku menteri bertanggungjawab, saya ingin menyeru semua pemandu bas serta orang bekerja sendiri yang layak agar segera mendaftar dan mencarum bagi memastikan anda mendapat perlindungan di bawah SKSPS,” katanya.

Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemandu teksi, bas boleh mohon bantuan RM500 melalui Apad

PUTRAJAYA, 19 JAN: Permohonan bagi mendapatkan bantuan kewangan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 kepada pemandu bas dan teksi yang diumumkan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), boleh dibuat menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan semalam berkata maklumat lanjut mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh Apad dalam masa terdekat.

“Sehingga kini, rekod terdahulu menunjukkan terdapat kira-kira 600 pemohon yang layak tetapi masih belum berdaftar dengan Apad, sekali gus menyukarkan proses penyaluran bantuan dibuat,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Permai yang bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif, berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Antara inisiatif bagi pemain industri pengangkutan termasuk bantuan sekali bayar berkenaan yang akan memanfaatkan 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.

Selain itu, kerajaan turut memberi pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama lima tahun, berbanding tujuh tahun sebelum ini.

Syarikat jaminan pinjaman perniagaan akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi yang memberi jaminan 50 peratus ke atas pinjaman bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.

Ia membolehkan pengusaha bas dan teksi menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.

Wee berkata pakej itu diharap memberi kelegaan dan nafas baharu kepada kepada pemain-pemain dalam industri pengangkutan dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

AADK Selangor periksa pemandu, penumpang bas

SHAH ALAM, 30 JULAI: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor menempatkan anggota penguatkuasanya di terminal bas negeri ini sempena cuti perayaan Aidiladha untuk memastikan pemandu dan penumpang bas ekspres bebas dadah.

Pengarah AADK Selangor Dr Nazira Sadiron berkata menerusi langkah itu, setiap pemandu dan penumpang akan diperiksa dalam operasi empat hari iaitu semalam dan hari ini serta pada Selasa dan Rabu ini (4 dan 5 Ogos).

“Seramai 48 anggota AADK dan 180 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri turut terlibat dalam operasi ‘Op Terminal’ ini.

“Anggota AADK dan JPJ akan sentiasa berada di terminal bas Seksyen 17 di sini, Kajang dan Klang Sentral,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran operasi itu, malam tadi.

Nazira berkata setakat semalam, seramai 54 pemandu sudah diperiksa dan kesemuanya negatif ujian dadah.

Katanya, menerusi operasi itu beliau turut berharap kemalangan membabitkan kes penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pemandu dapat dibendung.

“Pemeriksaan bas turut dilaksanakan oleh JPJ dan setakat ini keadaan memuaskan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Biaya projek MRT berbilion ringgit, gagal sedia hub selesa pemandu bas

Oleh: NORHAYATI UMOR

PUCHONG, 9 MEI : Beberapa pemandu sebuah syarikat pengangkutan bas transit tertekan apabila terpaksa menjadikan pondok kecil di kawasan paya sebagai tempat rehat di Puchong Prima, di sini, sejak tujuh tahun lalu.

Mereka mendakwa terpaksa menjadikan pondok itu sebagai tempat rehat ekoran syarikat gagal menyediakan hub khusus untuk menempatkan bas dan bilik khas bagi tempat berehat pemandu.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, 18 pemandu terbabit terpaksa tinggal di sebuah pondok kayu yang kotor dan usang, selain kawasan persekitaran yang terdedah dengan ancaman binatang berbisa.

02Koordinator lalu lintas syarikat terbabit, Nor Azman Seteh, berkata pihaknya berharap syarikat lebih prihatin dengan kebajikan pekerja mereka kerana pemandu yang keletihan kerana bekerja sejak jam 5 pagi hingga malam perlu sebuah tempat khas dengan segera untuk mandi, berehat dan makan.

“Kami di sini berehat bertemankan tikus dan ular. Bila musim hujan, kami juga takut pondok kayu ini runtuh dan binatang berbisa yang banyak.

“Dengan waktu bekerja yang padat, kami tiada masa rehat yang cukup. Contohnya, di sini 16 pemandu memandu untuk laluan utama dan dua lagi untuk laluan tempatan.

“Di dalam bas pula, ruang yang disediakan majikan sebagai tempat rehat pemandu kedua hanya kerusi seperti penumpang lain, jadi kami memang ingin satu ruang yang selesa untuk berehat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

10Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han, berkata masalah itu bukan perkara yang sukar diselesaikan kerajaan kerana kos untuk menyediakan hub untuk keselesaan pemandu tidak mahal jika dibandingkan dengan projek MRT yang menelan kos berbilion ringgit.

“Kita sedia maklum, syarikat ini kaya. Jika projek MRT boleh dibiayai berbilion ringgit kenapa perkara ini dipandang remeh.

“Jika pemandu tidak mendapat rehat secukupnya, bagaimana mereka hendak melaksanakan tugas dengan baik. Tempat rehat yang selesa amat perlu, bukan mewah tetapi tidak juga hanya guna papan untuk dijadikan pondok.

“Kita risau jika mereka tidak dapat keselesaan kerana kurang rehat, ia boleh mengakibatkan keselamatan penumpang tergugat,” katanya yang melawat tempat rehat itu bersama ADUN Bukit Gasing, R Rajiv.

-NFN-