Categories
NASIONAL

Dr MAZA: Hudud hanya boleh dilaksanakan dalam suasana bukan kepentingan peribadi

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 7 MEI: Bekas Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya Kerajaan Kelantan mengemaskini peruntukan undang-undang yang terkandung di dalam Enakmen Jenayah Syariah 1993 supaya dilihat lebih adil kepada semua.

Dalam Wacana anjuran Kumpulan Karangkraf, ‘Hudud: Bersediakah Kita’ beliau berkata, perlaksanaan hukum hudud ini perlu dilakukan tanpa kepentingan peribadi serta berada dalam suasana yang kondusif.

Mohd Asri Zainul AbidinMengambil iktibar daripada kisah perlaksanaan hudud semasa zaman Nabi Muhammad SAW beliau menjelaskan, Baginda sendiri tidak berkompromi untuk menjalankan hudud kepada anaknya, Siti Fatimah sekiranya beliau mencuri seperti yang dinyatakan dalam hadis.

“Ketika Nabi Muhammad SAW memotong tangan (pencuri) (baginda) potong tangan tanpa ada kepentingan diri.

“Hudud tidak boleh dibuat kerana ada orang yang tidak sama dimana ada orang yang boleh dan tidak (boleh) dibawa ke mahkamah.

“Biar sama (pelaksanaan hukum) dari istana mahupun rumah miskin,” katanya yang lebih dikenali sebagai Dr Maza.

Tegasnya, sebagai muslim, orang Islam tidak mempertikaikan hukum hudud di dalam Al-Quran tetapi persoalan bagaimana ia dilakukan.

Hal ini kerana beliau bimbang suasana masyarakat akan berubah jika keadilan tidak dapat dilakukan sebaiknya dan golongan bukan Islam menjauhi agama Islam.

Justeru katanya, Kerajaan PAS Kelantan perlu duduk kembali berbincang mengenai perkara ini supaya dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau menambah, institusi zakat di negara ini perlu diperkasakan untuk membantu golongan miskin supaya pengagihan wang zakat yang mencecah RM bilion seluruh negara dapat dinikmati secara adil saksama.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.