Categories
SELANGOR

Kompleks Sukan MPSJ berwajah baru, kemudahan bertaraf antarabangsa

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 7 MEI : Selepas tujuh bulan kerja menaik taraf dilakukan, Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kini berwajah baru dengan pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporatnya, kompleks sukan itu antara lain menyediakan padang bola sepak mengikut spesifikasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

MPSJ kompleksDengan itu, ianya dilengkapi bilik persalinan pemain, bilik VIP, tempat duduk ‘grandstand’ yang boleh memuatkan 800 orang pada satu-satu masa, bangku pemain simpanan dan pentas utama.

“Padang bola sepak ini juga boleh digunakan pada waktu malam kerana mempunyai kemudahan lampu limpah dengan kapasiti 1,200 lux.

“Maka, perlawanan bola sepak yang diadakan boleh dibuat siaran langsung di kaca televisyen,” memetik kenyataan itu.

Selain itu, Kompleks Sukan MPSJ juga memperoleh sijil International Association of Atlethics Federation (IAAF) yang melayakkan trek digunakan bagi kejohanan peringkat antarabangsa.

Kemudahan lain yang disediakan ialah bagi acara lompat jauh, lempar cakera, lontar peluru dan juga acara lari berhalangan.

Kompleks yang dibina pada tahun 1997 itu ditutup sementara bermula September tahun lepas bagi kerja naik taraf sebelum dibuka semula pada 26 Mac lalu.

Bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menyewa dan menempah kompleks bagi tujuan hari keluarga, pertandingan bola sepak, olah raga atau lain-lain boleh menghubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat, MPSJ di talian 03-8026 3299 atau faks ke 03-80246545.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.