Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM gesa ambil tindakan kumpulan kasari petugas media

Oleh: Media Gerakan Media Marah (GERAMM)

Himpunan 1 Mei anti GST semalam menyaksikan satu lagi himpunan raksaksa oleh rakyat dan NGO Malaysia dan sepatutnya berakhir tanpa sebarang insiden.

Namun tindakan segelintir dari peserta protes tersebut yang mengasari beberapa wartawan dan jurugambar amat dikesali.

Jurufoto HCK Media (mewakili akhbar mingguan perniagaan Focus Malaysia, akhbar mingguan The Heat dan portaltheantdaily.com) Sharil Amin Abdul Rahim disepak dan ditumbuk manakala jurufoto The Malaysia Reserve, Hafzi Mohamad terkena balingan kayu dalam kejadian tersebut.

Sementara Jurukamera agensi Negara China Xinhua News, Mohd Zul Iskandar Hanafiah turut disepak beberapa kali oleh sekumpulan anak muda berpakaian hitam dan bertopeng.

Kami mahu pihak penganjur menyiasat perkara ini dan kumpulan tersebut tampil memberi penjelasan mengapa hal ini boleh berlaku.

GERAMM dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan terhadap wartawan ini.

GERAMM turut menyokong tindakan undang-undang yang mahu dibuat oleh wartawan yang menjadi mangsa termasuk laporan polis yang mahu dilakukan oleh Persatuan Jurugambar Berita Malaysia (MPPA) dan individu terlibat.

Bukti video dan gambar yang didapati turut dengan jelas menunjukkan provokasi dan keganasan yang dihadapi para wartawan yang berada di tempat kejadian.

GERAMM berpendapat walaupun sebilangan media dianggap sebagai alat propaganda pihak tertentu, tindakan keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima sama sekali.

Ketika kebebasan media menjadi satu cabaran yang masih diperjuangkan di pelbagai peringkat – termasuk wartawan di GERAMM – campurtangan politik di bilik media masih menjadi satu isu besar di sebilangan media. 

Kami meminta semua pihak beranggapan media Malaysia tidak bebas agar tidak menggunakan keganasan (kepada Media) kerana ia bertentangan dengan standard antarabangsa dan tidak membantu perjuangan mereka.

Sebaliknya kami menyeru agar lebih dialog antara kumpulan media dan masyarakat sivil serta NGO untuk membawa kepada kefahamanyang lebih baik mengenai kedudukan dan cabaran yang dihadapi media demi membawa perubahan demokratik di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published.