Categories
SELANGOR

MTUC sambut baik keputusan Selangor beri tanah bina pusat latihan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 MEI: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik keputusan Kerajaan Selangor yang memperuntukkan sebidang tanah di negeri itu bagi tujuan mendirikan pusat latihan.

Timbalan Presidennya, Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata budi baik Kerajaan Negeri itu cukup menggembirakan MTUC yang sudah menanti lebih 30 tahun.

Katanya, pusat latihan itu adalah penantian yang cukup lama bagi MTUC yang ingin melatih dan memberikan pendidikan dalam pembentukan kepimpinan pekerja.

abdullah sani 01“Ia perkara yang cukup baik. Sebelum ini, Mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein hanya memberikan tabung pendidikan RM250,000.

“Tetapi kali ini dalam sejarah, Selangor memberikan kita tanah seluas tiga ekar bagi pembangunan pusat latihan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, pihaknya pernah mengusulkan kepada Kerajaan Puat untuk pemberian tanah namun tidak dipersetujui.

“Kita tidak dapat tanah terutama sekitar Kuala Lumpur atau Selangor,” katanya.

Beliau berharap dengan pelaksanaanya pusat latihan itu nanti akan dapat menambah baik latihan kepada pekerja terutama pengetahuan dalam aspek perundangan.

MB MTUCPada 1 Mei lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memperuntukkan sebidang tanah berkeluasan tiga ekar bagi mendirikan pusat latihan MTUC.

Katanya, perkara yang baru diputuskan itu akan dibincangkan lebih lanjut dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTG) untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai.

Beliau berkata, persetujuan itu diberi selaras dengan misi Kerajaan Negeri membangunkan modal insan dan pekerja berkemahiran tinggi.

Sementara itu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan turut memuji tindakan Abdul Khalid yang dilihat prihatin pada permasalahan pekerja dan rakyat.

“Hari ini dalam sejarah apabila seorang pemimpin seperti Menteri Besar memberikan persetujuan untuk beri tanah kepada MTUC dan ia tidak pernah berlaku lagi.

“Kami sangat bangga mempunyai seorang Menteri Besar yang prihatin pada permasalahan pekerja dan rakyat seperti beliau,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.