Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri beri MTUC tanah bina pusat latihan

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 1 MEI : Kerajaan Negeri sedia memperuntukkan sebidang tanah di Selangor kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi mendirikan pusat latihannya sendiri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara yang baru diputuskan itu akan dibincangkan lebih lanjut dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTG) untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai.

MB MTUCKatanya, persetujuan itu diberi selaras dengan misi Kerajaan Negeri membangunkan modal insan dan pekerja berkemahiran tinggi.

“Kerajaan Negeri berjanji untuk mencari tapak tanah pusat kemahiran pekerja MTUC.

“Saya ingat tanah yang akan diberi lebih kurang tiga ekar, yang pastinya bukan di Petaling Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan sempena Hari Pekerja anjuran MTUC di Padang Timur Amcorp Mall di sini yang turut dihadiri Exco Negeri, Dr Halimah Ali.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri memberikan sumbangan RM30,000 untuk kelancaran program himpunan itu yang dihadiri lebih daripada 1,000 peserta.

Terdahulu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan ketika ucapannya meminta agar Kerajaan Negeri dapat menyediakan tanah untuk mendirikan bangunan pusat latihan dan kemahiran bagi golongan pekerja.

MB MTUC 1“Hari ini dalam sejarah apabila seorang pemimpin seperti Menteri Besar memberikan persetujuan untuk beri tanah kepada MTUC, ini tidak pernah berlaku lagi.

“Kami sangat bangga mempunyai seorang Menteri Besar yang prihatin pada permasalahan pekerja dan rakyat seperti beliau.

“Ternyata beliau berkomitmen tinggi, hari ini tidak sihat pun beliau masih mampu hadir ke sini, terima kasih,” kata Khalid Atan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.