Categories
SELANGOR

MB 2 penggal, prestasi pengganti perlu lebih baik

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 3 MEI : Keputusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tidak memegang jawatan Menteri Besar selepas melebihi dua penggal merupakan keputusan luar biasa dalam bidang politik negara ini, kata Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail.

Rodziah berkata keputusan terbabit membuktikan sikap Abdul Khalid berbeza dengan ahli politik lain.

MB“Ini sikap luar biasa dalam politik. Biasanya orang mahu berada dalam jawatan itu selama mungkin. Tetapi bagi Tan Sri (Abdul Khalid), beliau tunjukkan perkara itu bukan semata-mata kerana Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Rodziah berkata dalam tempoh Abdul Khalid memegang jawatan itu, beliau banyak membuktikan kejayaan beliau sebagai Menteri Besar.

“Satu perkara yang orang diluar sana mungkin tidak nampak iaitu bagaimana Menteri Besar berjaya mengubah pemikiran pegawai kerajaan dan cekap mengendalikan hal ehwal rakyat.

“Jika dulu orang berpandangan pegawai kerajaan malas dan tidak efisien, tetapi apabila beliau dilantik sebagai Menteri Besar, beliau telah berusaha meletakkan perubahan kepada pegawai kerajaan.

“Itu satu cabaran, pemimpin politik datang dan pergi, jadi pegawai kerajaan bukan hanya dengar cakap orang berkepentingan politik tetapi harus mengekalkan dasar dan polisi yang ditunjukkan oleh Menteri Besar,” katanya.

rodziahBeliau berkata dengan keputusan Abdul Khalid itu, pimpinan Pakatan Rakyat harus memikirkan siapa penganti Menteri Besar selepas ini.

Katanya, Pakatan Rakyat akan menghadapi cabaran untuk memilih Menteri Besar yang baru ekoran tanda aras yang tinggi ditinggalkan oleh Abdul Khalid.

“Pakatan harus bersiap sedia siapakah penganti Abdul Khalid. Siapa yang ganti beliau mestilah sama dengan Abdul Khalid atau lebih baik dari Abdul Khalid.

“Ia kerana sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid meletakkan diri beliau ke satu tanda aras yang tinggi dalam prestasi memegang jawatan itu,” katanya.

Baru-baru ini, Abdul Khalid berkata keputusan untuk tidak memegang jawatan Menteri Besar selepas penggal ini dibuat atas kemahuan sendiri dan bukan desakan parti PKR atau Pakatan Rakyat.

Katanya, keputusan itu dibuat lebih awal dan mengambil kira cara pentadbiran kerajaan di negara maju yang kebiasaannya memegang dua penggal sahaja.

Beliau berkata langkah berundur membolehkan legasi kepimpinan di Selangor dipegang pemimpin lain untuk membawa negeri ini ke aras lebih tinggi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.