Categories
SELANGOR

Kebebasan Akhbar: Thailand dan Indonesia lebih bebas daripada Malaysia

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 MEI : Beberapa orang panel yang menyertai Forum Kebebasan Akhbar Sedunia 2014 yang berlangsung di Universiti Selangor (Unisel) mengakui Malaysia masih tidak mengamalkan kebebasan media sepenuhnya.

Pensyarah Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Safar Hashim, berkata hakikat itu terpaksa diakui berikutan wujudnya kawalan daripada pihak tertentu terhadap sesebuah organisasi media tidak kira media cetak atau elektronik.

IMG_0243aKatanya Malaysia tidak sebebas negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang lebih terbuka terhadap media kerana tersekat dengan undang-undang akhbar yang mula diwujudkan pada tahun 1835 iaitu semasa di bawah pemerintahan British.

“Saya akui Malaysia kurang mengamalkan kebebasan media kerana ia dikawal oleh undang-undang.

“(Kebebasan media) di Malaysia kedudukannya adalah di tengah-tengah, tidak bebas dan tidak juga dikawal sepenuhnya,” katanya pada forum yang bertemakan Memupuk Kebebasan Bersuara, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Editor Eksekutif Sun Media Corporation Sdn Bhd, Balan Moses pula berpendapat kebiasaannya artikel atau berita yang ingin disiarkan di akhbar akan dipantau terlebih dahulu isi kandungannya oleh pihak atasan atau berkepentingan.

IMG_0290aKatanya Malaysia mengalami kekangan menyiarkan berita yang lebih bebas kerana ia semua termaktub di bawah bidang kuasa kerajaan.

“Kita mahukan kebebasan media tetapi ia terpulang kepada pihak kerajaan. Mereka yang menentukan,” katanya.

Terdahulu, menerusi Indeks Kebebasan Akhbar 2014 yang dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) di Perancis, Malaysia berada pada kedudukan ke-147 daripada 180 negara yang disenaraikan.

Kedudukan itu meletakkan Malaysia di bawah negara lain yang kurang membangun seperti Bangadesh (146), Myanmar (145) dan Cambodia (144).

media-bebas4Pada 2013, Malaysia sudah pun jatuh ke kedudukan tercorot, iaitu di tangga ke-145 daripada 179 buah negara dalam Indeks Kebebasan Media 2013 – pencapaian terburuk sejak indeks tahunan RSF diperkenalkan pada 2002.

Malaysia terjunam 23 anak tangga pada 2013 memandangkan negara ini diletakkan di tangga ke-122 pada 2011/2012 untuk Indeks Kebebasan Media.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.