Categories
NASIONAL

Pastikan penduduk Kampung Baru terbela

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 21 MEI: Perbadanan Kampung Baru (PKB) digesa agar meletakkan kepentingan penduduk Kampung Baru sebagai keutamaan dalam melaksanakan agenda pembangunan di kampung tersebut.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar Pemuda PAS (LTPB PPM) , Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, beliau bersetuju dengan cadangan beberapa wakil penduduk supaya penduduk Kampung Baru bergabung dan dilibatkan sama untuk membangunkan kampung mereka.

kampungBaruPenggabungan ini katanya adalah langkah baik bagi menyatukan pendapat dalam memastikan hak mereka terus terpelihara serta memudahkan proses rundingan dan pembangunan nanti.

“Kita juga meminta kerajaan segera menetapkan nilai bagi satu kaki persegi sebelum Deraf Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) 2020 dibentangkan Jun depan.

“Jika dakwaan PKB bahawa 88 peratus daripada 2,388 pemilik tanah bersetuju membangunkan semula kampung mereka, amat penting bagi pemilik mengetahui nilai tanah mereka
supaya penduduk dapat merancang dan bersepakat tentang pembangunan yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tegasnya, apa yang tidak diinginkan ialah apabila ada unsur penipuan atau sengaja meletakkan harga tanah pada kadar yang jauh lebih rendah dari harga pasaran semasa yang sebenar dan mengakibatkan pemilik menanggung kerugian.

Tambah Ahmad Zamri, Pemilik dan penduduk kampung berhak menikmati hasil pembangunan di tanah mereka, menjadi peserta dan bukan sekadar pemerhati semata-mata.

Justeru, dalam usaha kerancakan pelan pembangunan di kawasan sekitar pastikan ianya tidak akan meminggirkan cadangan pemilik tanah sedia ada.

“Pengalaman penduduk kampung sebelum ini amat menyedihkan apabila akhirnya pembangunan yang dicanang hanya menguntungkan pihak pemaju, pembeli dan pihak luar lain sehingga meminggirkan langsung penduduk asal.

“Penduduk asal terpaksa berpindah, merempat dan meninggalkan kampung mereka tanpa mendapat pampasan yang sewajarnya ibarat menagih ihsan di tanah air sendiri,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.