Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berkenan serah sumbangan peribadi buat mangsa banjir di Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan sumbangan peribadi kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini.

Istana Negara menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya memaklumkan sumbangan berkenaan disampaikan oleh Juruiring Tentera Darat Baginda, Brigadier Jeneral Datuk Sharizan Wan Chik.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka,” menurut kenyataan itu.

Semalam beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan penduduk yang terjejas terpaksa dipindahkan ke PPS.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

35 produk makanan kampung baru berpotensi dikomersial

CHERAS, 9 JAN: Sebanyak 35 produk makanan di kampung baru dikenal pasti berpotensi tinggi untuk dikomersialkan, kata EXCO pembangunan kampung baru.

Ng Sze Han berkata semua produk tersebut akan menjalani latihan menerusi Program BAIK supaya produk mereka dinaik taraf daripada segi pembungkusan dan pemasaran.

“Program BAIK dianjurkan bermula Ogos tahun lalu untuk mencari produk terbaik dari kampung baru di Selangor. Kita sedia maklum makanan di kampung baru memang sedap tetapi bungkusannya kurang menarik.

“Melalui program ini produk makanan dapat dinaik taraf supaya menjadi lebih menarik dan mencapai objektif iaitu memasuki pasaran di seluruh Malaysia berbanding di Selangor sahaja,” katanya ditemui di Kampung Baru Batu 11 di sini hari ini.

Sze Han berkata buat masa ini, pihaknya telah dihubungi beberapa platform dalam talian yang berminat untuk memasarkan produk kampung baru itu.

“Penglibatan dalam platform ini dapat membantu membangunkan ekonomi penduduk terjejas terutama ketika pandemik sekali gus menambah pendapatan.

“Kita merancang untuk menganjurkan program BAIK ini secara tahunan untuk mencari lebih banyak produk dan bekerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bubur lambuk Kampung Baru kembali meriahkan Ramadan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Peminat bubur lambuk Kampung Baru akan dapat menikmati keenakan juadah tradisi berusia lebih 100 tahun itu apabila program edaran makanan tersebut yang menjadi program tahunan akan diteruskan sempena Ramadan tahun ini.

Tahun lepas program edaran bubur lambuk oleh Masjid Jamek Kampung Baru, tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Pengerusi masjid itu Datuk Mohd Khay Ibrahim berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelulusan untuk menyediakan, memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

“Buat masa ini, kami hanya akan buat untuk pengagihan kerana berdasarkan maklumat daripada surat pekeliling Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) masih tidak membenarkan majlis berbuka puasa dilakukan di masjid,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tahun ini, pihak masjid membelanjakan lebih RM200,000 yang diterima daripada sumbangan orang ramai bagi penyediaan hidangan tersebut.

“Kami akan memasak minimum 15 periuk setiap hari sepanjang Ramadan ini, yang akan dlaksanakan secara gotong-royong membabitkan hampir 30 kariah masjid.

“Biasanya, untuk satu periuk kami akan peroleh hingga 190 bungkus bubur lambuk dan kami akan menggunakan 15 kilogram beras (kg), enam kg daging, enam kg santan, satu kg udang kering serta campuran rempah ratus,” katanya.

Menceritakan keenakan bubur lambuk Kampung Baru, Mohd Khay berkata tiada rahsia tertentu di dalam penyediaannya.

“Kami menggunakan resipi turun-temurun dan tidak pernah merahsiakan bahan yang digunakan atau mengurangkan serta menambah ramuan. Mungkin juga keberkatan bersedekah kepada orang ramai membuatkan ia rasa sedap,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khay juga yakin masyarakat boleh mematuhi tatacara operasi piawai SOP) sepanjang proses pengagihan dilaksanakan nanti.

“Kami tidak lihat penetapan SOP ini sebagai satu kesusahan kerana ia sudah menjadi amalan semua masyarakat sejak setahun lepas.

“Selain beratur di perkarangan masjid, mungkin kami juga akan mengaplikasikan kaedah secara pandu lalu namun itu juga mengikut kepada kesesuaian,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelbagai projek pembangunan dirancang bangunkan Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Pelbagai projek pembangunan dirancang bagi membangunkan kawasan Kampung Baru supaya kelihatan lebih moden, tersusun dan cantik, kata menteri wilayah persekutuan.

Khalid Abdul Samad berkata masjid di Kampung Baru akan dijadikan pusat pembangunan dengan kewujudkan taman warisan masyarakat Melayu seluas 9.6 hektar.

“Taman ini berkonsepkan Kampung Morten di Melaka tetapi lebih besar, di dalamnya terdapat rumah yang mempunyai seni bina Melayu dan 11 unit rumah sedia ada di Kampung Baru akan dipelihara serta diletakkan di dalamnya.

“Kini, yang sedang dibina adalah satu jambatan jalan kaki moden dinamakan ‘Saloma Link’ yang akan dihiasi diod pemancar cahaya yang akan menghubungkan Kampung Baru dengan KLCC,” katanya semasa temu bual Ruang Bicara di Bernama TV di sini semalam.

Beliau berkata taman warisan itu juga dilengkapi panggung warisan yang akan mempertontonkan budaya masyarakat Melayu kepada orang ramai.

Pada masa sama, Khalid berkata lebih banyak kemudahan pengangkutan awam akan disediakan di kawasan tersebut selain penambahan kediaman mampu milik serta kawasan perniagaan orang Melayu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan jamin kekal identiti Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Kerajaan memberi jaminan identiti Kampung Baru dikekalkan dan terus memartabatkan ciri-ciri kemelayuan serta keislaman yang wujud lebih 100 tahun di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berkata sehubungan itu pihaknya merancang menyediakan beberapa pembangunan khas seperti pusat persembahan Teater Melayu, projek Taman Warisan Melayu selain mengekalkan beberapa bangunan seperti Masjid Kampung Baru dan Kelab Sultan Sulaiman.

“Nama-nama jalan juga dikekalkan…penting bagi kita untuk membangunkan masyarakat Melayu di situ. Kalau di negara lain sekiranya kawasan milik sesuatu kaum tidak dibangunkan, mereka akan mendakwa didiskriminasi atau dianaktirikan oleh kerajaan.

“Kita mahu bina satu kawasan penempatan orang Melayu yang moden, lengkap, sempurna, selesa dan tersusun,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif mengenai Pencapaian Kementerian Wilayah Persekutuan Sepanjang Tahun 2019 disiarkan secara langsung di TV1, pada 30 Disember lalu.

Khalid berkata hujung bulan lalu sehingga pertengahan tahun depan, kementeriannya melakukan pertemuan secara berkumpulan dengan pemilik dan pewaris untuk mendapatkan persetujuan serta menjelaskan tujuan kerajaan membangunkan Kampung Baru.

“Setakat ini kementerian menerima maklumat balas daripada 40 peratus penduduk Kampung Baru. Kita mahu memberikan penjelasan tepat kepada penduduk dan pewaris bahawa soal rampas tanah tidak timbul.
“Saya yakin tawaran yang diberikan adalah cukup baik,” katanya berhubung tawaran RM1,000 bagi satu kaki persegi tanah kampung itu.

Dalam pada itu Khalid berazam supaya Pelan Pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur 2040 dapat dilaksana seperti dirancang dalam usaha membetulkan pembangunan yang selama ini tidak mengikut perancangan sepatutnya.

“Sebenarnya banyak masalah di Wilayah Persekutuan terutama di Kuala Lumpur, memandangkan terdapat pembangunan tidak mengikut undang-undang atau rancangan induk yang ditetapkan, ada yang tersasar.
“Jadi sekarang kita nak betulkan keadaan ini dan sudah tentu perubahan yang akan dilakukan nanti akan mendapat bantahan.

“Jika mahu menilai pencapaian sebenar, rasanya masih banyak yang perlu dilakukan dan ia mustahil dilaksanakan dalam tempoh singkat. Kebanyakannya ‘sedang dalam pelaksanaan’. Kita harap tahun 2020 nanti akan lebih banyak pencapaian yang boleh dibanggakan, dengan kadar munasabah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada sebab kerajaan ambil tanah Kampung Baru secara paksa – Khalid

SUNGAI PETANI, 30 NOV: Tiada sebab untuk kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur, jika semua pemilik tanah memahami dan bersetuju dengan rancangan pembangunan kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, kerajaan akan berusaha sedaya upaya memujuk semua pemilik tanah untuk bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan yang menurutnya adalah amat baik.

“Tiada sebab orang (pemilik tanah) nak bantah, harga yang ditawarkan baik, tujuan pembangunannya baik dan dapat selesai banyak masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ujana Perbandaran Sungai Petani, di sini, hari ini.

“Sekarang ini satu lot tanah ada sampai 50 nama, ada yang sampai 150 nama yang paling ramai, kalau benda ini tidak ditangani sampai bila-bila tidak selesai, nama pemilik lot itu juga akan bertambah sehingga akhirnya mustahil untuk menjual dan bangunkannya kerana terlalu ramai penama,” tambahnya.

Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah bagi mengambil tanah kampung itu.

Sementara itu, Khalid berkata hari ini, merupakan hari terakhir pemilik tanah Kampung Baru untuk mengisi dan menghantar borang maklum balas pelan pembangunan kawasan berkenaan.

Katanya, setakat ini lebih 2,000 atau hampir 50 peratus pemilik tanah telah berbuat demikian.

“Tarikh 30 November adalah ‘dateline’ untuk terima respons, selepas habis dateline kita akan wujudkan pasukan pergi bertemu dengan pemilik lot secara kumpulan kecil untuk bincang dan menjelaskan tujuan pembangunan yang ingin kita lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, kerajaan menerusi Jabatan Landskap Negara bercadang untuk membina sekurang-kurangnya sebuah taman awam berskala besar bagi setiap negari menerusi pelan tindakan yang digariskan jabatan itu.

“Taman awam berskala besar atau taman persekutuan ini akan berkeluasan 250 ekar, ini semua untuk memerangi global warming dan climate change dan selain taman berskala besar, kita ada juga taman awam yang lebih daripada 20 ekar yang juga di bawah Jabatan Landskap Negara,” katanya.

Ujana Perbandaran Sungai Petani yang berkeluasan 11.8 hektar merupakan salah satu taman yang dibangunkan Jabatan Landskap Negara, agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dengan peruntukkan lebih RM11 juta bagi menyediakan kemudahan rekreasi kepada penduduk di sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khalid: Pendekatan lain bangunkan Kampung Baru bila sesuai

PUTRAJAYA, 28 NOV: Kerajaan akan memikirkan pendekatan lain dalam usaha mendapatkan persetujuan semua pemilik tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur berhubung pembangunan semula kawasan penempatan itu apabila tiba masanya, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

“Kita akan lakukan bila tiba waktunya,” katanya ketika ditanya jika masih ramai penduduk Kampung Baru yang tidak mengemukakan maklum balas mengenai persetujuan pembangunan semula kawasan itu sehingga 30 November ini.

Menurut Khalid, sehingga hari ini, 40 peratus daripada 5,359 pemilik tanah berdaftar sudah mengisi dan menghantar borang maklum balas pelan pembangunan.

Pada 24 Oktober lalu, Khalid mengumumkan tawaran baru RM1,000 bagi setiap kaki persegi sebagai harga muktamad untuk membeli tanah bagi pembangunan semula Kampung Baru, berbanding RM850 yang ditawarkan sebelum itu.

Daripada kadar RM1,000 itu, RM850 akan dibayar berdasarkan bentuk pulangan yang dipilih pemilik manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham ke atas Syarikat Tujuan Khas (SPV).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Melayu dikhuatiri tidak mampu miliki hartanah di Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kerajaan boleh menawarkan kadar yang tinggi kepada tuan tanah di Kampung Baru untuk plot masing-masing tetapi ini mungkin memberi implikasi kepada pembangunannya hingga harga hartanah tinggi dan tidak mampu dibeli oleh kebanyakan orang Melayu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam situasi sedemikian, Perdana Menteri berkata, beliau bimbang kemungkinan hartanah seperti unit rumah terpaksa dijual pada harga yang amat mahal dan di luar kemampuan kebanyakan mereka.

“Kita boleh naikkan harga yang kita tawar kepada pemilik (tanah) tetapi kita khuatir dengan kenaikan harga itu, bangunan yang didirikan seperti rumah, flat, apartmen akan naik harga juga. (Jika) mereka jual tanah dengan harga murah, kita pun boleh bina rumah yang lebih murah dan mampu kepada orang Melayu.

“Kalau kita nak ikut harga pasaran, orang Melayu tak masuk dah dalam Kampung Baru. Jika anda mahukannya, kita akan lakukan untuk anda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Peralatan Perubatan Antarabangsa, di sini, hari ini.

Atas alasan ini, katanya, satu harga istimewa telah ditawarkan kepada pemilik tanah, dengan hasrat untuk memelihara satu-satunya wilayah Melayu dalam kawasan pusat bandar.

Adalah dilaporkan bahawa kerajaan telah menawar untuk membeli tanah di Kampung Baru di sini pada kadar RM850 setiap kaki persegi, sebagai pampasan kepada tuan tanah, untuk tujuan pembangunan semula kawasan berkenaan.

Dr Mahathir berkata, di tempat lain yang asalnya dimiliki Melayu, ramai orang Melayu miskin telah menjual tanah mereka dengan harga yang bagus tetapi kemudian mendapati hakikatnya mereka sendiri tidak mampu untuk membelinya kembali dan menjadi milik orang lain.

“Tanah itu yang dapat adalah orang lain, tetapi di Kampung Baru kita perlu ada penghuninya terdiri daripada orang Melayu kerana Kampung Baru adalah untuk orang Melayu,” katanya.

Mengenai isu lain, Dr Mahathir berkata, langkah untuk mengurangkan ambang harga kepada orang luar untuk membeli hartanah yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020, bertujuan bagi mengatasi masalah hartanah yang tidak terjual di negara ini yang sekiranya tidak ditangani boleh menyumbang kepada masalah kewangan seperti yang berlaku di beberapa negara Asia.

Jadi kita perlu menjual hartanah yang berkenaan agar pasaran hartanah boleh menjadi sihat semula, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tubuh pasukan khas selia pembangunan di Kampung Baru – MUDA

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Himpunan Pemuda dan Belia Kampong Bharu (MUDA) akan menghantar memorandum khas kepada kerajaan bagi mencadangkan penubuhan sebuah pasukan khas di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dapat menjaga kemaslahatan dan pembangunan sejagat penduduknya.

Wakil MUDA Mohamad Shahril Saleh berkata, melalui memorandum “Pembangunan Ekonomi Disamping Mengekalkan Warisan Hartanah” pihaknya berharap pemilihan ahli pasukan itu perlulah daripada dalam kalangan penduduk Kampung Baru yang berkelayakan.

“MUDA mencadangkan penubuhan dan keanggotaan pasukan khas dalam kalangan penduduk sendiri kerana mereka lebih mengetahui apa yang terbaik untuk pembangunan kawasan penempatan mereka.

“Pihak kami juga memohon agar kerajaan sudi mengambil calon yang layak daripada penduduk kampung ini sendiri supaya ada penglibatan kepimpinan masyarakat terutama anak muda sebagai pemegang warisan ke hadapan.

“Ini agar setiap perincian pembangunan mendapat maklum balas sewajarnya daripada pihak-pihak berkepentingan (kerajaan, pemaju dan penduduk),” katanya ketika sidang media Himpunan Solidariti Selamatkan Kampung Baru, di sini, hari ini.

Mohamad Shahril yang mewakili warga tuan tanah dan pewaris Kampung Baru berkata, memorandum berkenaan akan dihantar dalam tempoh dua minggu lagi,

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan perlu memainkan peranan aktif mewujudkan sinergi di antara Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan Malay Agricultural Settlement (MAS) supaya tidak wujud percanggahan untuk kepentingan penduduk.

Mohamad Shahril turut berkata, memorandum itu antara lain turut memfokuskan terhadap pemeliharaan sosiobudaya, politik dan kelangsungan bangsa Melayu yang telah menjadi penduduk tetap di kawasan kejiranan Kampung Baru sejak tahun 1900.

Tanah seluas 223 ekar di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu adalah tanah kurniaan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Syah.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Dewan Pembangunan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim berkata, dalam membangunkan penguasaan ekonomi orang Melayu di Kampung Baru, ia perlu berasaskan pada pengamalan ekonomi tanpa riba dan amalan sedekah dalam kalangan penduduk itu sendiri.

“Kedua konsep pembangunan ekonomi ini akan dapat mengembalikan maruah dan kekuatan ekonomi bangsa Melayu di sini, ini kerana Kampung Baru adalah ibu negara orang-orang Melayu yang patutnya dibanggakan,” katanya.

Himpunan itu dihadiri kira-kira 600 penduduk Kampung Baru yang mengharapkan agar pihak kerajaan dapat mengambil langkah terbaik dalam membangunkan kawasan itu tanpa perlu menghapuskan hak mereka sebagai pemilik tetap tanah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KWP tidak halang jika ada pihak mahu tawar harga lebih tinggi

PUTRAJAYA, 28 SEPT: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyatakan bahawa ia terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan harga yang lebih tinggi asalkan syarat pemilikan dipatuhi iaitu milik orang Melayu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, menyambut baik pandangan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim bahawa harga yang sepatutnya bagi tanah Kampung Baru adalah RM2,000 sekaki persegi dan bukannya RM850 sebagaimana ditawarkan oleh KWP.

“Saya berharap pandangan ini adalah pandangan kolektif DPMM sendiri dan ianya berdasarkan pernilaian yang dilakukan secara profesional.

“Sehubungan dengan itu, saya mengalu-alukan sekiranya DPMM mengusahakan agar tanah di Kampung Baru dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi. Saya yakin berdasarkan pernilaian profesional yang dilakukan, DPMM akan mampu mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan untuk menjayakan pembelian ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khalid berkata, jika DPMM bersetuju untuk membelinya dengan harga RM2,000 sekaki persegi, beliau akan pastikan KWP dan Perbadanan Kampung Baru memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membolehkan DPMM membeli tanah penduduk Kampung Baru dengan harga yang ditawarkan.

“Saya yakin hasrat DPMM ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet bincang isu Kampung Baru Rabu ini

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Kabinet akan membincangkan mengenai kadar tawaran harga pembelian tanah pemilik dan pewaris Kampung Baru pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata beliau akan membawa perkara itu kepada Kabinet dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mencari jalan penyelesaian terbaik buat semua pihak.

“(Bincang) Lusa masa di (mesyuarat) Kabinet, kalau dapat ruang saya akan maklumkan Dr Mahathir dan daripada situ kita akan fikir satu cara (penyelesaian).

“Kita faham memang semua nak harga yang lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan, (tetapi) apa yang kita kena buat ialah kita perlu cari satu harga yang munasabah yang memungkinkan projek ini menjadi berdaya maju,” katanya selepas menghadiri program di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Sabtu lepas Khalid dipetik sebagai berkata kerajaan menawarkan kadar RM850 sekaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula Kampung Baru.

Menurut Khalid ia merupakan kadar tertinggi dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Katanya kerajaan juga tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan tawaran harga yang lebih tinggi bagi pembelian tersebut.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Banyak karenah majukan tanah Kampung Baru

Oleh Prof Dr Ismail Omar

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Ramai daripada pemilik tanah di Kampung Baru menghubungi penulis bertanyakan beberapa perkara tentang cadangan kerajaan untuk memajukan tanah mereka.

Rata-rata mereka kurang pasti apa yang akan berlaku.

Pemilik kurang pasti mengenai kebaikan dan keburukan pembangunan yang dicadangkan.

Antara soalan yang berlegar-legar di dalam minda mereka ialah apabila tanah mereka dilibatkan dengan pembangunan, di mana mereka akan dipindahkan atau apa yang akan terjadi kepada perniagaan yang mereka usahakan sekarang?

Mereka turut runsing apa yang akan terjadi kepada rumah yang mereka sewakan sekarang. Ada yang bimbang kemungkinan setelah tanah mereka dibeli dengan harga tertentu, tanah itu kemudiannya dijual pula kepada pelabur dengan harga yang lebih mahal di pasaran.

Jikalau dimajukan sebagai pangsapuri, mampukah orang Melayu membelinya? Boleh dikatakan pelbagai persoalan yang menghantui mereka, menyebabkan ramai yang resah dan gelisah.

Apabila pemilik tanah Kampung Baru merenung semula apa yang terjadi di tempat mereka, timbul rasa cuak dan takut di benak masing-masing. Sudah beberapa kali mereka ditipu beberapa pemaju yang memujuk mereka untuk berkongsi memajukan tanah.

Akhirnya, geran tanah hilang dan pembangunan gagal, pemajunya pula hilang entah ke mana. Ada juga pemilik tanah yang tersenyum puas. Maklumlah doa dan harapan mereka semakin nampak menjadi kenyataan. Pembangunan yang dirancang pada 1991 diyakini dimuktamadkan juga kali ini.

Pada 1991, ada berita bahawa tanah mereka akan diambil dan dibayar pampasan yang setimpal. Kemudian, atas sebab-sebab kos pembangunan yang amat tinggi, pihak kerajaan terdahulu membatalkan hasrat berkenaan.

Sekarang timbul pula berita cadangan semua tanah mereka akan dibeli pihak kerajaan dengan harga yang setimpal. Ada yang mengatakan nilai tanah mereka dengan harga sehingga RM1,000 sekaki persegi (92.9 meter persegi).

Maknanya, setiap penduduk yang memiliki lot tanah 7,000 kaki persegi (650.3 meter persegi) akan menerima harga jualan tanah sebanyak RM7 juta. Lantaran itu, berbagai-bagai rancangan masa hadapan yang sedang direka dan difikirkan.

Cadangan pembangunan semula Kampung Baru dibuat pihak kerajaan melalui rundingan harga secara terus untuk maksud jual beli di pasaran. Terdapat laporan bahawa bayaran yang diperuntukkan amat besar iaitu kira-kira RM10 bilion.

Ini bermakna pihak pemilik boleh mengemukakan harga jualan yang ditawarkan kepada pihak kerajaan untuk dipertimbangkan. Apabila tawar-menawar berlaku, akhirnya penjual dan pembeli akan mempersetujui harga pasaran dan jual beli akan berlaku.

Pendekatan ini dinamakan mekanisme pasaran yang melibatkan permintaan dan penawaran. Titik keseimbangan adalah harga yang terbaik di pasaran yang akan dimuktamadkan.

Namun, rundingan neoklasikal iaitu pendekatan ekonomi yang timbul selepas Perang Dunia Kedua, yang melibatkan permintaan dan bekalan bagi menentukan harga, sudah tidak sesuai lagi pada masa sekarang. Ini terutama sekali apabila pemilik tidak mempunyai kefahaman jelas tentang pasaran harta.

Oleh yang demikian, pemilik tanah di Kampung Baru sepatutnya diberi peluang untuk melantik wakil atau ejen mereka yang profesional bagi mengendalikan rundingan harga yang berkenaan.

Sekiranya rundingan terus antara pemilik dan pihak kerajaan tidak berlaku sebaik-baiknya, pihak kerajaan boleh mengambil tanah penduduk melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Akta ini memberi kuasa kepada pihak kerajaan mengambil tanah berimilik untuk maksud awam atau pembangunan ekonomi.

Dalam urusan pengambilan, pampasan mencukupi akan dibayar kepada pemilik yang sah melibatkan nilai tanah dan juga kos-kos berkaitan.

Sebagai bantuan untuk kemudahan pemilik, pihak kerajaan membenarkan mereka melantik penilai swasta untuk menyediakan laporan dan nilaian untuk maksud siasatan di pejabat tanah. Sekiranya pemilik-pemilik tidak bersetuju dengan jumlah pampasan, mereka boleh membuat bantahan dan kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk diadili dan ditentukan nilai pampasan yang muktamad.

Pemilik tanah di Kampung Baru harus bersedia dengan ilmu pengetahuan terutama sekali mengenai harga dan nilai pasaran tanah-tanah mereka.

Jenis nilai tanah ini dinamai Nilai Pasaran Terbuka. Ada banyak faktor yang mempengaruhi nilai pasaran ini. Antaranya termasuklah jenis pegangan tanah.

Tanah di Kampung Baru adalah tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di bawah Peraturan Penempatan Pertanian Melayu (Kuala Lumpur) 1950 dan dipinda pada 1954. Jadi, terdapat perbezaan nilai tanah MAS dengan tanah di Jalan Chow Kit yang berada di luar kawasan MAS Kampung Baru.

Selain harga pasaran yang akan dimuktamadkan semasa rundingan terus, penjual dan pembeli perlu menyelesaikan masalah pentadbiran tanah yang ada.

Kebanyakan tanah MAS mempunyai pemilik yang ramai atau dinamai pemilikan bertindih. Banyak lot tanah pula yang masih belum selesai isu pusaka, warisan dan faraid.

Penyelesaian semua perkara ini memerlukan kos dan masa yang agak panjang kecuali pihak kerajaan mengatur urusan pentadbiran tanah bagi menyelesaikannya dengan teratur dan cekap.

Terdapat juga kira-kira 100 lot tanpa pemilik yang bermakna pengambilan tanah menjadi satu alternatif. Barangkali perunding pentadbiran tanah atau perunding harta pusaka boleh membantu menyelesaikan masalah ini.

Kebanyakan pemilik tanah di Kampung Baru ingin mengekalkan pegangan tanah mereka supaya tidak terlepas kepada kaum lain. Mereka tidak menolak pembangunan yang dibawa kerajaan.

Justeru itu, satu alternatif yang paling baik adalah memajukan tanah di sana menggunakan konsep Bandar Wakaf. Oleh kerana wakaf tidak boleh dijual beli (secara umum kecuali pendapat ulama mengenai pajak) maka, hartanah wakaf akan menjadi benteng, penyelamat dan pelindung kepada ummah.

Selain itu, pelbagai bentuk mauquf (objek yang boleh diwakafkan) wakaf seperti wang tunai, hartanah dan rumah yang boleh dimanfaatkan pemilik dan pihak yang berkepentingan. Pahala berwakaf pula akan mengalir hingga hari akhirat.

Walau apapun yang akan berlaku, pemilik tanah di Kampung Baru perlu berani menghadapi sebarang kemungkinan melalui persiapan dan persediaan ilmu pengetahuan tentang hartanah.

Pihak kerajaan pula perlu lebih rasional memberi peluang dan ruang supaya akhirnya pembangunan semula Kampung Baru dapat dijalankan dengan semua pihak berpuas hati atau situasi menang-menang.

Prof Dr Ismail Omar ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan pensyarah kanan dalam bidang pengurusan hartanah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)

-BERNAMA