Categories
SELANGOR

PBT perlu tetap SOP sama kendali pasar seluruh Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 MEI: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor perlu menetapkan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang sama dalam pengendalian tapak pasar pagi dan malam di seluruh negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Selangor (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha, berkata hal itu kerana operasi di tapak pasar terbabit dilihat berbeza antara satu kawasan dengan yang lain hingga menimbulkan kekeliruan kepada pihak berkenaan termasuk PBT sendiri.

Katanya, pengambilalihan tapak pasar oleh PBT sewajarnya memperbetulkan pengurusan termasuk SOP mengikut kemampuan dan standard sama di semua kawasan.

haniza“Kita nampak pengurusan ini tidak dibuat secara standard. Ada kawasan tertentu PBT yang buat, ada kawasan lain Jawatankuasa Penduduk (JKP) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) buat, bahkan ada juga persatuan penjaja turut terbabit sama.

“Disebabkan tiada sistem yang diselaraskan, maka terjadi masalah. Bila kita minta bentangkan akaun penyata kutipan sewa, ada pihak yang gagal berbuat demikian,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Haniza turut mengulas berkenaan isu pengurusan sewa tapak pasar pagi dan malam membabitkan PBT serta JKP dan JKKK ketika beliau mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan PBT Selangor sebelum ini.

ayam mentah pasar stok 01Katanya, persatuan penjaja yang terbabit dalam pengurusan dan kutipan sewa tapak pasar itu juga boleh dianggap menyalahi syarat ditetapkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana membuat keuntungan daripada operasi itu.

“Kami juga dimaklumkan dalam satu kawasan majlis daerah, satu jawatankuasa parti politik menguruskan tapak pasar malam untuk tempoh lama. Kami mengarahkan PBT mengambilalih pengurusan kerana kawasan dimaksudkan adalah hak milik PBT,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.