Categories
NASIONAL

Rakyat pelbagai kaum beri penghormatan terakhir pada Almarhum Sultan Perak

KUALA KANGSAR, 29 Mei: Suasana pilu jelas terasa apabila rakyat tiba untuk menziarahi jenazah Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di pekarangan Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Masyarakat pelbagai lapisan dilihat tiba di pekarangan Istana Iskandariah seawal jam 8.30 pagi dan dibenarkan masuk ke balairung seri, tempat jenazah Almarhum disemayamkan setengah jam kemudian untuk memberi penghormatan terakhir.

Istiadat penghormatan orang awam ini berlangsung bermula jam 9 hingga 11.30 pagi dan akan disusuli orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing bermula jam 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari.

Tuanku-Sultan-Azlan-ShahMemetik BERNAMA, Sesi penghormatan terakhir untuk raja-raja Melayu, yang dipertua negeri, ketua negara dan ketua kerajaan pula akan bermula jam 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang.

Alunan ayat-ayat suci al-Quran diperdengarkan beberapa kumpulan termasuk pelajar tahfiz, anggota kariah beberapa buah masjid dan Jabatan Agama Islam Perak sepanjang masa di balairung seri itu.

Terdahulu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar, Tuanku Zara dan kerabat diraja berangkat tiba di balairung seri itu.

Turut berada di dewan itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta pembesar negeri.

Rakyat jelata pelbagai kaum yang kebanyakannya berpakaian serba hitam sebagai tanda berkabung kemudian menuju ke peterana tempat disemayamkan jenazah Almarhum dan membacakan doa mengikut kepercayaan agama masing-masing sebelum berjalan keluar meninggalkan balairung seri.

Leave a Reply

Your email address will not be published.