Categories
NASIONAL

SAMM tak terlibat pergaduhan di Dataran Merdeka

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 3 MEI : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terlibat dalam pergaduhan dengan mana-mana pihak pada Himpunan Bantah GST baru-baru ini.

Ketua Propagandanya, Edy Noor Reduan dalam satu kenyataan berkata SAMM mengecam sebarang tindakan ganas sesama sendiri termasuk aksi tolak-menolak yang melampau atas alasan menghalang orang masuk dataran dan sebagainya.

SAMM 1Katanya, kekecohan bermula dengan kejadian tolak-menolak orang ramai hingga masuk ke lingkungan kedudukan SAMM menyebabkan ada anggotanya yang dirempuh termasuklah wanita muda SAMM.

“SAMM terpaksa mempertahankan diri dari asakan dan juga cuba bertindak meleraikan kekecohan.

“SAMM tidak menafikan beberapa komrad SAMM dalam jumlah yang sangat kecil (daripada hampir dua ratus anggota) gagal mengawal perasaan dalam keadaan penat dan panas berarak hampir 5 kilometer, akhirnya berjaya ditenangkan,” katanya.

rakyat GSTPada 1 Mei lepas, lebih 50,000 peserta menyertai Himpunan Bantah GST dan berkumpul di sekitar Dataran Merdeka bagi membantah tindakan Kerajaan Pusat memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan mula berkuat kuasa 1 April tahun hadapan.

Perhimpunan aman yang mendapat kerjasama pihak polis kali ini bagaimanapun dicemari insiden wakil media bertugas dikasari peserta berbaju hitam dan bertopeng yang didakwa anggota SAMM.

“SAMM menafikan sekerasnya laporan akhbar Bernama yang mengatakan kononnya SAMM terlibat memukul pihak media.

“SAMM mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kekerasan terhadap media, ini tidak harus berlaku dan merupakan kesalahan yang tiada kompromi.

“SAMM menasihatkan agar media yang tersalah lapor agar membetulkan semula laporan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.