Categories
SELANGOR

Selangor tingkat program pembangunan belia, landasan tepat wawasan negeri maju 2025

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 17 MEI: Kerajaan Negeri akan terus melipat gandakan usaha bagi menambah baik program membabitkan pembangunan golongan remaja dan belia di Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata usaha berterusan penting dilaksanakan untuk menjamin kelahiran tenaga kerja yang berkemahiran dan cekap.

Katanya, kriteria itu penting bagi menjamin Selangor berada dalam landasan tepat menuju ke arah wawasan negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan menjelang tahun 2025.

DSC_2319“Kerajaan Negeri antara lain memperuntukkan RM30 juta pada bajet terkini bagi pembangunan belia termasuk membangunkan infrastruktur dan ICT.

“Kita juga usahakan supaya lima anak muda daripada setiap kampung dihantar mengikuti kursus pembaikan lif dan pendawaian elektrik dan mendapat peluang pekerjaan di pangsapuri milik Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk dicapai, anak muda juga perlu letakkan satu objektif dan sasaran supaya dapat seiring membawa negeri ini ke satu tahap membanggakan pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Majlis Konvokesyen Inpens International College kali ke-18 di Auditorium Inpensa, di sini, bagi mewakili Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak dapat hadir atas urusan penting.

Hadir sama adalah wakil pengurusan INPENS, Jefri Mejan serta barisan ahli lembaga pengarah, S Ganabatirao (Exco Negeri) dan Noraini Roslan (Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor).

DSC_2308Seramai 280 pelajar menerima sijil dan diploma membabitkan kursus seperti Eksekutif Automotif, Juruteknik Kanan Kenderaan Motor, Juruteknik Motosikal Kanan, Pendandan Rambut dan Penyelia Pembuat Pakaian Wanita.

Pelajar cemerlang turut diberikan anugerah khas pencapaian seperti Anugerah Khas Dato’ Menteri Besar, Anugerah Khas Exco Pendidikan Negeri Selangor, Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Anugerah Menteri Besar Pemerbadanan.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.