Categories
SELANGOR

Sewa PPR Kota Damansara naik zaman BN, bukan PR

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 9 MEI: Keputusan menaikkan sewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara dibuat pada tahun 2007 ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Negeri hanya mula melaksanakan keputusan berkenaan, pada November 2008.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri hanya mengenakan kadar kenaikan yang baru kepada mereka yang berpendapatan RM1,500 ke atas.

3v“Selepas anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) iaitu Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSS) ambil alih, kita mula mengkaji semula status pendapatan penduduk kerana hal itu adalah sesuatu yang berubah, ada naik turun.

“Selepas proses kemas kini dilakukan, kita dapati ada yang tangga gajinya melayakkan mereka dikenakan sewa kadar baru RM250.

“Kadar ini masih dilihat rendah berbanding tempat lain yang mencecah hingga RM600 sebulan,” katanya yang ditemui di kawasan perumahan itu, di Seksyen 8 ,di sini, hari ini.

Minggu lalu, beberapa penduduk mengadakan bantahan secara aman yang turut disertai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan.

4vMereka berkumpul bagi membantah kenaikan sewa baru RM250 yang dikenakan dua kali ganda berbanding kadar sebelum ini, RM124.

Mengulas lanjut bantahan itu, Iskandar berkata, beliau akan mengemukakan cadangan di Mesyuarat Exco untuk membuat pengecualian kenaikan ke atas kumpulan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal.

“Kita akan pertimbangkan juga jumlah tanggungan dalam setiap ahli keluarga, contoh jika gaji tinggi melebihi RM 1,500 tetapi ada tanggungan empat anak, maka mungkin mereka akan dikenakan sewa RM124 sahaja.

“Kita juga akan pamerkan semua nama yang dikenakan kadar RM124 ini, supaya ada ketelusan dan boleh menilai sama ada memang layak dapat pengecualian atau sebaliknya,” katanya.

PPR Kota Damansara mempunyai 1,152 buah unit dan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan satu bilik air.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.