Categories
AGENDA NASIONAL

KPM lanjut kecualikan sewaan kantin hingga Jun depan

KOTA BHARU, 9 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata lanjutan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah di bawah KPM.

“Kita terima banyak permohonan pengusaha kantin sebelum ini yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin.

“Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail hari ini.

Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.

Pada Julai tahun lepas, KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada tempoh kaedah penggiliran akan diteruskan, Radzi berkata pendekatan yang diambil KPM adalah secara progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Kalau boleh kami di KPM tidak mahu ada kaedah penggiliran tetapi memandangkan situasi semasa penularan COVID-19 termasuk varian Omicron, kami berpandangan kaedah ini perlu diteliti terlebih dahulu dari semasa ke semasa,” katanya.

Radzi turut menegaskan sekali lagi kepada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya hadir ke sekolah supaya memaklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

“KPM bersifat terbuka sekiranya terdapat murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah tetapi perlu mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Ini adalah untuk memudahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit,” katanya.

Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal ketiga, 2021/2022. Bagaimanapun, 31 sekolah di Johor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir tidak akan dibuka.

Bagi sekolah di negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mula dibuka esok, 10 Jan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kantin, koperasi sekolah dikecualikan bayar sewa enam bulan

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan pengecualian bayaran sewaan kantin dan premis/ruang yang terjejas akibat penutupan sekolah di bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan mulai bulan ini.

Menurut kenyataan KPM, premis atau ruang yang diberikan pengecualian sewa itu termasuk kedai buku, koperasi, kedai dobi atau mesin layan diri yang terjejas ekoran pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah bawah KPM secara automatik untuk satu tahun apabila tempoh kontrak asal tamat,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPM juga akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor Bekalan Makanan Bermasak yang terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas.

Bagi perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan, pihak kementerian menjelaskan pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, justeru tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja mereka.

“KPM yakin inisiatif berkenaan dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan oleh pandemik Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu.

Sektor pendidikan hanya akan dibuka semula secara berperingkat pada Fasa Tiga dalam PPN yang dijangka bermula September 2021.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis diroboh MPS disewakan RM2,000 sebulan

RAWANG, 10 DIS: Pemilik asal stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu di Batu 17 yang dirobohkan hari ini dipercayai menyewakan premis itu pada kadar RM2,000 sebulan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pemilik mendirikan struktur dan beroperasi tanpa kebenaran atas rizab Sungai Rawang sejak 20 tahun lalu.

“Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak sudah beberapa kali mengeluarkan notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 untuk mengosongkan kawasan tersebut namun mereka masih enggan berbuat demikian sehingga memaksa tindakan penguatkuasaan dibuat.

“Pemilik premis memberi kerjasama baik dan tidak mencetuskan sebarang provokasi sepanjang operasi berjalan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau perobohan kedua-dua premis hari ini.

Operasi bersepadu bermula kira-kira 10 pagi diketuai PTD Gombak dan dibantu MPS, polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Jengkaut merobohkan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu yang beroperasi secara haram di Batu 17, Rawang ketika operasi bersepadu pembangunan tanpa kebenaran oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak pada 10 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Shamsul Shahril juga menggesa pengusaha kilang yang berhasrat membuka penempatan supaya mematuhi peraturan dengan menyemak status tanah dan mendapatkan kebenaran merancang pembangunan.

“Mereka (pengusaha) perlu semak daripada segi syarat nyata tanah sama ada (tanah) untuk kegunaan kediaman, industri atau tanah kerajaan termasuk pengezonan meliputi perumahan dan kedai.

“Kita mengharapkan kepada sesiapa sahaja yang mahu buka kilang untuk merujuk kepada PTD dan MPS dengan bayaran semakan pelan hanya RM20,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO gesa persekutuan lanjutkan pengecualian sewa PPR, perumahan awam

SHAH ALAM, 23 OKT: EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar menggesa Kerajaan Persekutuan melanjutkan pengecualian bayaran sewa kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam.

Rodziah Ismail berkata pengecualian itu perlu kerana golongan berkenaan paling terkesan dengan situasi ekonomi tidak menentu sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“B40 merupakan golongan yang paling terjejas dengan situasi yang melanda. Kebanyakan mereka yang bekerja di sektor bawahan diberhentikan kerja.

“Kesukaran mendapatkan pekerjaan pada ketika ini merupakan satu cabaran buat golongan B40,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, Kerajaan Selangor memberikan pengecualian bayaran sewa bagi bulan April melibatkan semua penyewa PPR di bawah pengurusan pentadbiran negeri dengan jumlah keseluruhan bernilai RM562,358.

Selain itu, penangguhan bayaran sewa selama dua bulan turut diberikan bagi bulan Mei dan Jun di semua PPR terlibat dengan kos sebanyak RM1.124 juta.

Rodziah menambah kerajaan juga perlu meneliti data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan negara mengalami penyusutan ekonomi paling ketara dalam kalangan negara Asean.

“Mengikut data itu, ekonomi kita menyusut sebanyak 17.1 peratus dalam suku kedua 2020. Begitu juga dengan kadar pengangguran yang meningkat kepada 4.7 peratus pada Julai lalu berbanding 3.3 peratus pada Julai 2019.”

Katanya, peratusan pengangguran itu merupakan angka yang besar iaitu bersamaan dengan 745,100 orang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tawar rebat, PREC jangka kutipan sewa meningkat akhir tahun

SHAH ALAM, 14 OGOS: Pemberian rebat tiga bulan dijangka meningkatkan jumlah kutipan sewa di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall akhir tahun ini.

Ketua pegawai eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) berkata program Jom Beli sehingga Disember juga membantu peniaga meraih pendapatan untuk melunaskan sewa.

“Kita anjurkan program Jom Beli di kedua-dua premis seminggu sebelum Aidiladha bagi membantu peniaga mendapatkan hasil jualan dan kita mula terima bayaran (sewa).

“Walaupun kutipan bawah sasaran, namun kita yakin ia akan meningkat secara berperingkat dalam tahun ini,” kata Fakru Radzi Ab Ghani ketika dihubungi.

Pada Mac dan April lalu, PREC menawarkan rebat sewa 50 peratus kepada peniaga bergantung kepada jenis perniagaan runcit manakala 30 peratus pada Mei.

Agensi itu turut memberi penangguhan sewa Mei dan Jun selain meneruskan Program Jom Beli.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Lanjut tempoh bayaran premium tanah, pengecualian sewa premis

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Selangor melanjutkan tempoh pembayaran premium tanah dan pengecualian sewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut bagi memulihkan ekonomi serta membantu pelbagai golongan termasuk pemaju dan pelabur yang terkesan dengan impak Covid-19.

“Kerajaan Negeri bersetuju pembayaran premium tanah bagi notis yang telah tamat tempoh dari 1 Januari sehingga 9 Jun dilanjutkan sehingga 30 September tahun ini.

“Selain itu turut diluluskan pembayaran premium tanah secara ansuran selama enam bulan sehingga 31 Mac tahun depan kepada notis 5A dan 7G yang belum tamat tempoh dengan syarat ditetapkan,” kata Dato’ Menteri Besar menerusi kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata penyewa premis perniagaan milik PBT yang diberi pengecualian sewa sebulan pada April lalu, akan menikmati faedah tersebut sekali lagi untuk Mei.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat Borhan Aman Shah mewakili ADN Selangor menyerahkan replika cek sumbangan Tabung Covid-19 Selangor kepada Dato’ Seri Amirudin Shari selepas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Sebelum ini Selangor membelanjakan sejumlah RM400 juta untuk melaksanakan dua Pakej Rangsangan Ekonomi.

Pada 20 Mac lalu Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 diumumkan bagi membantu pelbagai golongan yang terkesan dengan wabak itu.

Peruntukan RM127.78 juta memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua diumumkan pada 1 April berjumlah RM272.5 juta.

Categories
SELANGOR

Skim Smart-Sewa diteruskan, peruntukan tambahan RM50 juta

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan Skim Smart-Sewa dengan peruntukan tambahan RM50 juta dalam Belanjawan 2018 berikutan sambutan baik diterima daripada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim bermula 2016 dengan peruntukan RM10 juta mendapat maklum balas positif dari golongan ‘millennials’.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah meningkatkan pembiayaan kepada RM100 juta untuk membeli unit rumah di lokasi strategik yang disewakan kepd mereka yang layak.

“Sehingga kini, sebanyak 861 unit rumah mampu milik telah dimiliki Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan kos pembelian bernilai RM123.14 juta manakala Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi skim ini,” katanya.

Skim Smart-Sewa adalah program Kerajaan Negeri diwujudkan untuk membantu rakyat berpendapatan sederhana menyewa selama minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Dalam tempoh berkenaan, apabila penyewa mempunyai keupayaan membeli rumah maka 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan akan dipulangkan balik kepadanya bagi digunakan sebagai deposit membeli rumah baru.

Mohamed Azmin selanjutnya berkata, program Rumah Selangorku diusahakan Kerajaan Negeri bersama pihak swasta juga memenuhi matlamat apabila melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 unit.

Sehingga Oktober ini, beliau berkata, sebanyak 1,813 unit telah siap dibina dan angka itu akan meningkat kepada 3,394 unit siap dibina menjelang hujung tahun ini.

“Untuk makluman, sebanyak 29 projek telah memperoleh kelulusan Permit Pengiklanan dan Lesen Pembangun (APDL) dan dijangka akan menyiapkan 20,331 unit Rumah Selangorku secara berperingkat menjelang 2020,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Sewa PPR Kota Damansara naik zaman BN, bukan PR

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 9 MEI: Keputusan menaikkan sewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara dibuat pada tahun 2007 ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Negeri hanya mula melaksanakan keputusan berkenaan, pada November 2008.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri hanya mengenakan kadar kenaikan yang baru kepada mereka yang berpendapatan RM1,500 ke atas.

3v“Selepas anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) iaitu Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSS) ambil alih, kita mula mengkaji semula status pendapatan penduduk kerana hal itu adalah sesuatu yang berubah, ada naik turun.

“Selepas proses kemas kini dilakukan, kita dapati ada yang tangga gajinya melayakkan mereka dikenakan sewa kadar baru RM250.

“Kadar ini masih dilihat rendah berbanding tempat lain yang mencecah hingga RM600 sebulan,” katanya yang ditemui di kawasan perumahan itu, di Seksyen 8 ,di sini, hari ini.

Minggu lalu, beberapa penduduk mengadakan bantahan secara aman yang turut disertai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan.

4vMereka berkumpul bagi membantah kenaikan sewa baru RM250 yang dikenakan dua kali ganda berbanding kadar sebelum ini, RM124.

Mengulas lanjut bantahan itu, Iskandar berkata, beliau akan mengemukakan cadangan di Mesyuarat Exco untuk membuat pengecualian kenaikan ke atas kumpulan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal.

“Kita akan pertimbangkan juga jumlah tanggungan dalam setiap ahli keluarga, contoh jika gaji tinggi melebihi RM 1,500 tetapi ada tanggungan empat anak, maka mungkin mereka akan dikenakan sewa RM124 sahaja.

“Kita juga akan pamerkan semua nama yang dikenakan kadar RM124 ini, supaya ada ketelusan dan boleh menilai sama ada memang layak dapat pengecualian atau sebaliknya,” katanya.

PPR Kota Damansara mempunyai 1,152 buah unit dan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan satu bilik air.

-NFN-