Categories
SELANGOR

Tingkat keselamatan, elak kes remaja dirogol 38 lelaki berulang

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 MEI : Kerajaan Pusat digesa supaya meningkatkan penguatkuasaan di negara ini terutama berhubung isu keselamatan kepada kaum wanita bagi memastikan mereka selamat daripada sebarang perilaku jenayah.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata isu keselamatan wanita sering dibicarakan atau dibincangkan secara umum, namun usaha serius daripada pihak kerajaan masih belum dirasai sehingga hari ini.

blogger-image-162863562Katanya Kerajaan Pusat hanya akan melaksanakan sesuatu tindakan sekiranya jenayah itu dilaporkan sudah berlaku tanpa sebarang perancangan jangka panjang.

“Memang tak nampak (usaha daripada Kerajaan Pusat) sehinggakan rasa selamat itu tidak dapat dirasai rakyat Malaysia.

“Janji kerajaan untuk mewujudkan talian khas kononnya bagi memudahkan wanita yang merasa tidak selamat membuat laporan kepada pihak berwajib juga saya tidak nampak pelaksanaannya.

“Kerajaan BN suka buat (tindakan) bila benda itu sudah berlaku dan bukannya buat perancangan jangka panjang,” katanya kepada Selangor Kini.

Rodziah berkata demikian bagi mengulas insiden seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dirogol secara beramai-ramai oleh 38 orang lelaki Melayu di sebuah rumah.

Pengadu yang juga pelajar tingkatan tiga kemudiannya dihantar ke hospital perubatan Kuala Krai untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Hasil awal rawatan mendapati terdapat kesan koyakan teruk pada hymen dan kesan kemasukan yang berulang-ulang kali pada kemaluan mangsa.

rodziahMengulas lanjut, Rodziah berkata tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan khususnya untuk melindungi kanak-kanak atau remaja di bawah umur yang lebih cenderung kepada unsur jenayah.

Mengambil contoh negeri Selangor, Rodziah berkata Kerajaan Negeri bersama pihak polis dan badan berwajib sentiasa berusaha menjadikan keselamatan wanita sebagai tumpuan utama.

Katanya ia dapat dilihat menerusi Kempen Wanita Selamat yang dilaksanakan tahun lalu di mana kaum wanita diberi pendedahan tentang bahayanya jenayah dan diberi alat keselamatan seperti wisel sebagai perlindungan.

“Untuk melindungi anak-anak, penguatkuasaan boleh dilakukan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah supaya kita boleh pantau apa yang berlaku.

“Pemantauan dan usaha itu perlu terus dijalankan untuk memastikan kejadian tidak diingini dapat dielakkan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.