Categories
NASIONAL

Altantuya diletup bukan guna C4?

SHAH ALAM 24 JUN: Mahkamah Persekutuan dikejutkan dengan pendedahan ‘baru’ apabila pendengaran rayuan kes bunuh Altantuya Shaariibuu diberitahu wanita Mongolia itu mati bukan akibat letupan C4.

Mengikut laporan Malaysiakini, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup ketika diminta menjelaskan mengenai letupan yang digunakan ke atas Altantuya berkata, letupan yang digunakan adalah pentaerythritol tetranitrate (PETN) dan Research Department explosive (RDX).

altantuyaDitanya mengapa penghakiman Mahkamah Rayuan menggunakan istilah “C4”, Timbalan Peguam Cara Negara II, Tun Abdul Majid menjawab: “Mereka (hakim) tidak baca rekod, mereka baca akhbar”.

Tun Abdul Majid menyalahkan media kerana menggelar letupan yang digunakan terhadap Altantuya sebagai ‘C4′.

“Kami tidak pernah kata ia C4, ia dibuat akhbar, ia bukan C4,” katanya dipetik.

Abdul Majid berkata, Unit Tindakan Khas tidak pernah menggunakan letupan C4 tetapi tertuduh boleh menggunakan sebarang bentuk letupan hasil latihan mereka.

Pendengaran rayuan itu dibuat terhadap pembebasan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Chif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar atas pertuduhan membunuh wanita itu.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013, membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada pertuduhan membunuh Altantuya selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada 2009.

Mereka didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara jam 10.00 malam 19 Oktober dan 1.00 pagi pada 20 Oktober 2006, dipercayai menggunakan bom C4.

Kematian Altantuya berkait dengan skandal pembelian kapal selam Scorpene oleh Kerajaan Malaysia daripada Perancis melibatkan komisen lebih RM500 juta.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.