Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan C4 tidak bertanggungjawab, Yawas gesa tarik balik

SHAH ALAM, 15 APRIL: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menggesa Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) supaya menarik balik laporan yang mengaitkannya dengan skandal kewangan.

Menegaskan dakwaan badan bukan kerajaan itu tidak berasas, pengurus besarnya berkata gambaran dalam dokumen bertajuk ‘Foundations and Donations: Political Financing, Corruption and the Pursuit of Power’ tidak bertanggungjawab.

“Cara laporan dan penyenaraian seperti ini tanpa semakan fakta dan ulasan yang lanjut daripada Yawas telah mengundang persepsi yang salah dan negatif… seterusnya menjejaskan imej Kerajaan Negeri.

“Atas prinsip laporan yang adil, bahagian berkenaan Yawas dalam laporan C4 perlu ditarik balik,” kata Gan Pei Nei dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata yayasan tersebut sentiasa mematuhi tadbir urus korporat yang ditetapkan undang-undang, malah tatacara pengurusan Yawas terikat dengan ketetapan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Gan juga menjelaskan penyata kewangan tahunan Yawas juga disemak oleh audit luar selain dipantau Jabatan Audit Dalaman Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

“Malahan, pengauditan yang dijalankan oleh pihak Audit Negara terhadap Yawas pada 2018 mendapati pengurusan Yawas berada di tahap pencapaian yang memuaskan,” katanya.

Dalam laporan tersebut, Yawas disenarai dalam lampiran jadual seiring skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal melibatkan ahli politik Umno-BN.

Categories
NASIONAL

Altantuya diletup bukan guna C4?

SHAH ALAM 24 JUN: Mahkamah Persekutuan dikejutkan dengan pendedahan ‘baru’ apabila pendengaran rayuan kes bunuh Altantuya Shaariibuu diberitahu wanita Mongolia itu mati bukan akibat letupan C4.

Mengikut laporan Malaysiakini, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup ketika diminta menjelaskan mengenai letupan yang digunakan ke atas Altantuya berkata, letupan yang digunakan adalah pentaerythritol tetranitrate (PETN) dan Research Department explosive (RDX).

altantuyaDitanya mengapa penghakiman Mahkamah Rayuan menggunakan istilah “C4”, Timbalan Peguam Cara Negara II, Tun Abdul Majid menjawab: “Mereka (hakim) tidak baca rekod, mereka baca akhbar”.

Tun Abdul Majid menyalahkan media kerana menggelar letupan yang digunakan terhadap Altantuya sebagai ‘C4′.

“Kami tidak pernah kata ia C4, ia dibuat akhbar, ia bukan C4,” katanya dipetik.

Abdul Majid berkata, Unit Tindakan Khas tidak pernah menggunakan letupan C4 tetapi tertuduh boleh menggunakan sebarang bentuk letupan hasil latihan mereka.

Pendengaran rayuan itu dibuat terhadap pembebasan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Chif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar atas pertuduhan membunuh wanita itu.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013, membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada pertuduhan membunuh Altantuya selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada 2009.

Mereka didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara jam 10.00 malam 19 Oktober dan 1.00 pagi pada 20 Oktober 2006, dipercayai menggunakan bom C4.

Kematian Altantuya berkait dengan skandal pembelian kapal selam Scorpene oleh Kerajaan Malaysia daripada Perancis melibatkan komisen lebih RM500 juta.

EZY

Categories
NASIONAL

Kes Altantuya: Akhirnya, … semua bebas dari dikenakan Hukuman

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 24 OGOS : Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua tertuduh dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai siapa gerangan pembunuh sebenar wanita itu tetapi turut memberi ruang akan timbulnya persepsi bahawa kes berkemungkinan membabitkan pimpinan tertinggi negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, persepsi itu turut disokong dengan fakta-fakta perjalanan kes perbicaraan sejak awal lagi di mana saksi-saksi penting tidak dipanggil, dokumen yang dipadamkan daripada rekod serta terdapat bukti pertukaran SMS antara peguam dengan pemimpin negara.

“Kita menghormati keputusan dibuat mahkamah rayuan tetapi dalam masa kita juga tidak dapat menolak wujudnya persepsi bahawa kes ini melibatkan pemimpin tertinggi sehingga akhirnya tiada siapapun yang disabitkan bersalah setelah tujuh tahun perbicaraan kes ini berjalan, malah satu demi satu orang yang terlibat dibebaskan.

“Ianya seolah-olah sengaja direka dan dibiarkan (perbicaraan) berjalan dan berlanjutan sehingga segala bukti dikeluarkan namun akhirnya semua yang tertuduh dan disebut bebas daripada pertuduhan membunuh,” kata Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.

Beliau dihubungi TVSelangor bagi mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya.

Altantuya yang bekerja sebagai penterjemah dan model sambilan ditembak mati sebelum bahan letupan C-4 dikatakan digunakan untuk meletupkan mayatnya hingga berkecai di Hutan Simpan Puncak Alam di sini pada malam 18 Oktober 2006.

Sebelum ini, bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang juga rakan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Walaupun dilihat mempunyai motif membunuh Altantuya yang didakwa sebagai bekas kekasihnya, Abdul Razak beruntung apabila pihak pendakwa tidak pernah memfailkan rayuan terhadap pembebasannya ketika itu.

Menyifatkan hari ini sebagai antara hari yang malang buat Malaysia, Shamsul berkata keputusan membebaskan kedua-dua tertuduh bukan sahaja memberi impak kepada keluarga mangsa tetapi turut memberi tanggapan buruk mata dunia terhadap sistem perundangan, kepolisian dan keadilan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang siasatan semula kes ini, beliau berkata tidak yakin ianya akan dapat dijalankan memandangkan siasatan semula memerlukan bukti-bukti baru sedangkan segala bukti yang ada dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Ianya bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan banyak perkara untuk membuka siasatan baru, namun kita berharap akan terus ada desakan bagi mencari keadilan dalam kes ini,” tegas Shamsul.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak agar kepimpinan tertinggi negara dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai keputusan mahkamah pagi tadi kerana terlalu banyak perkara yang masih terungkai tanpa penjelasan yang memuaskan.- mza