Categories
SELANGOR

Bot berhias Selangor tarik perhatian ‘Keajaiban Malam’

Oleh :LIZAWATI MADFA

PUTRAJAYA, 16 JUN: Bot berhias Selangor bertemakan ‘Selangor Banyak Kelebihan’ (Selangor Has More) menarik perhatian pengunjung pada acara ‘Keajaiban Malam’ (Magic of the Night) anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Bot itu diperagakan dengan ciri keunikan tersendiri dengan hiasan termasuk lambang senjata dan istiadat negeri, Masjid Biru, i-City, Kampung Kebudayaan Mah Meri, Litar Antarabangsa Sepang dan Perkampungan Kelip-kelip.

IMG_4001aMenteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut hadir bagi memeriahkan acara ‘Keajaiban Malam’ (Magic of the Night) anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Bertempat di Tasik Marina di sini, beliau bersama tetamu kehormat lain serta orang ramai dipersembahkan dengan 15 bot berhias yang bertanding dan menyusuri tasik di hadapan pentas utama.

Antara yang mengambil bahagian ialah Perbadanan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan negeri-negeri seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor sendiri.

Ini merupakan tahun keempat penganjuran Keajaiban Malam yang diadakan bersempena Floria Putrajaya dan turut dimasukkan dalam Kalendar Acara dan Perayaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2014.

IMG_3836aAcara malam tadi yang dihoskan Tourism Selangor turut dihadiri Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Dr. Ong Hong Peng.

Pada 14 Jun lepas, majlis perasmian disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut berkesempatan menyaksikan perarakan bot-bot berhias dan pertunjukan bunga api.

Majlis penutup akan diadakan pada 22 Jun ini dan dijangka disempurnakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang akan menyampaikan hadiah dan cenderamata kepada peserta Keajaiban Malam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.