Categories
NASIONAL

GERAMM: Saman Najib kepada Malaysiakini untuk tekan media

SHAH ALAM 8 JUN: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfaikan saman terhadap portal berita Malaysiakini disifatkan sebagai cubaan kerajaan memberi tekanan kepada pengamal media.

Jurucakap Gerakan Media Marah (Geramm), Fazallah Pit berkata, Najib sengaja menggunakan isu teknikal bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita itu.

geramm-logo“Najib menggunakan isu teknikal untuk ambil tindakan terhadap Malaysiakini. Tindakan ini ialah satu bentuk tekanan kepada media. Kenapa beliau tidak menggunakan ruang yang disediakan oleh Malaysiakini untuk memberi penjelasan berhubung isu yang disiarkan itu?,” soalnya dipetik Keadilan Daily.

Pada 30 Mei, Najib selaku presiden Umno dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap syarikat, ketua pengarang dan ketua editor laman web portal berkenaan.

Tindakan itu menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk daripada badan pemantau kebebasan akhbar yang berpejabat di Paris, Reporters Without Borders (RSF).

RSF dalam kenyataannya kesal kerana perdana menteri memilih untuk mengambil tindakan undang-undang dan bukannya menggunakan haknya untuk menjawab kritikan terhadapnya.

Pandangan sama disuarakan Badan Peguam Malaysia yang menyatakan Najib sepatutnya bersedia menerima kritikan dan bukan dengan menyaman media.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil membidas pemimpin Umno, termasuk ketua Pemuda Umnonya, Khairy Jamaluddin yang menyatakan sokongan terhadap tindakan Najib.

“Sebagai seorang yang mengakui dirinya progresif dan demokrat, beliau (Khairy) tidak seharusnya menyokong apa yang dilakukan Najib sebab badan kewartawanan antarabangsa sendiri pun mengecam apa yang dilakukan Najib.

“Apa yang dilakukan terhadap Malaysiakini adalah satu bentuk kongkongan kebebasan maklumat yang ingin disalurkan kepada rakyat.

“Rakyat menolak maklumat berbaur fitnah dan tohmahan seperti dilakukan Utusan Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.