Categories
NASIONAL

Pemandu teksi minta penjelasan SPAD penggunaan kupon

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 JUN : Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan menghantar notis kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi menuntut penjelasan berkaitan peraturan mengesahkan penggunaan sistem kupon dalam perkhidmatan teksi.

Amran dalam satu kenyataan berkata notis itu dihantar melalui syarikat guaman R.Kengadharan & Co pada 6 Mei lalu kepada Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.

teksi lembah klangBeliau berkata satu salinan turut diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Datuk Mahani Tan Abdullah.

“Sistem kupon ini membebankan serta mengelirukan penumpang tempatan dan asing, di samping memberi imej buruk terhadap mutu perkhidmatan teksi di negara ini.

“Ia tidak selari atau bercanggah dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (teksi mengunakan kadar tambang meter).

“Saya yang menjadi pemandu teksi selama 10 tahun merasa kecewa kerana setelah lebih sebulan berlalu, Pengerusi SPAD kekal berdiam diri serta gagal memberi sebarang maklum balas terhadap tuntutan ini,” katanya.

Amran berkata isu ini mula menjadi pertikaian sejak tahun 2010 lagi, namun tiada pihak berkepentingan tampil memberi penjelasan bahawa wujudnya peraturan atau akta yang membenarkan operasi sistem kupon berkenaan dilaksanakan.

teksiBeliau turut mendakwa SPAD seperti sedang menyembunyikan sesuatu perkara daripada pengetahuan pemandu teksi sehingga dilihat begitu sukar memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

“Adakah SPAD tidak diperuntukkan bidang kuasa untuk mencampuri urusan perniagaan sistem kupon yang diketahui umum operatornya adalah pihak pengusaha teksi sendiri?

“Senario perkhidmatan teksi negara dari dahulu sehingga ke hari ini jelas menunjukkan bahawa pihak pengusaha teksi terlalu mendominasi industri ini khususnya dalam perniagaan sistem kupon.

“Siapakah sebenarnya yang berkuasa didalam industri teksi negara? SPAD atau Persatuan Pengusaha Teksi?” soalnya.

Beliau turut mencadangkan supaya Syed Hamid Albar meletakkan jawatan serta-merta sekiranya tidak mampu untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan sistem kupon yang didakwa menjejaskan pemandu teksi.

“Dan jika keseluruhan organisasi SPAD tidak berupaya berfungsi sebagai badan yang diamanahkan oleh kerajaan bagi mengawalselia serta menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam negara, maka SPAD ini seharusnya dibubarkan saja,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.