Categories
SELANGOR

Isu KIDEX: Selangor berhak persoal jika tak beri manfaat

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 JUN : Kerajaan Selangor berhak untuk mempersoalkan pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) sekiranya ia tidak memberi manfaat yang besar kepada penduduk di kawasan itu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata persetujuan kepada pembinaan lebuh raya berkenaan hanya dari segi prinsip dan Kerajaan Negeri akan memantau segala aspek terutama dari sudut pengurangan trafik serta impak sosial.

kidex12“Kita hanya beri kelulusan dari segi prinsip, manakala Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menunjuk jalan lingkaran yang hendak dibina sebagai sistem penyebaran trafik.

“Persetujuan ini bergantung kepada kos, penilaian trafik serta penilaian impak kepada masyarakat dan keadaan alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, dekat sini hari ini.

Abdul Khalid berkata segala persoalan yang berbangkit mengenai lebuh raya berkenaan akan dijelaskan oleh LLM kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa badan berkenaan.

Bagaimanapun beliau yakin LLM akan memberi penjelasan terbaik berhubung isu berkenaan kerana mereka sudah mempunyai pengalaman dalam pembinaan lebuh raya di negara ini.

“Kebanyakan orang melihat kepada Kidex sahaja, sedangkan mereka patut lihat secara keseluruhan.

“Sekarang kita panggil LLM yang menentukan sama ada lebuh raya itu dibuat dan kalau mengikut kajian, ia sesuai untuk dilaksanakan dan juga memberi kebaikan kepada masyarakat,” katanya lagi.

EZY

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.