Categories
SELANGOR

LLM perlu main peranan penting dalam isu lebuh raya Selangor

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 JUN : Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dipanggil ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok bagi memberi penerangan berhubung cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan lebuh raya lain di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata LLM yang bertanggungjawab mengawal selia lebuh raya bertol di Malaysia perlu memainkan peranan penting untuk memberi kefahaman yang mendalam kepada orang ramai khususnya kepada penduduk di Petaling Jaya.

lebuh rayaBeliau berkata LLM bertanggungjawab memastikan keperluan sosial dan alam sekitar dipenuhi selain menjadi pakar rujuk dalam pembangunan dan pengurusan lebuh raya bertol.

“Didapati rakyat keliru atau dikelirukan oleh pihak berkepentingan sama ada yang menyokong atau menentang cadangan pembinaan lebuh raya ini.

“Kita perlu kembali kepada LLM sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya yang bertanggungjawab mengawal selia pembangunan dan pengurusan lebuh raya bertol di Malaysia.

“Kita difahamkan syarikat konsesi setakat ini belum menghantar Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar, Laporan Penilaian Kesan Sosial dan Laporan Penilaian Kesan Trafik kepada pihak-pihak berwajib termasuklah kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPSJ),” katanya.

MBBeliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata Kerajaan Selangor bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada LLM dalam usaha memberi penerangan kepada rakyat dengan penglibatan secara langsung wakil Kerajaan Negeri dan agensi-agensi di bawahnya.

Beliau turut memohon kerjasama daripada semua pihak supaya memberi ruang terlebih dahulu kepada pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas dan peranan mereka sebelum tindakan susulan diambil.

“Sebagai sebuah kerajaan negeri yang berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, kita perlu mengambil kira pelbagai aspek dalam membuat apa-apa juga keputusan yang akhirnya kepentingan rakyat teramai akan menjadi keutamaan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.