Categories
BERITA UTAMA

“Jangan risau GST kan ada!”

Oleh: Nurul Izzah Anwar

PADA Jun 2013, Timbalan Menteri Kewangan Kedua membuat kenyataan bahawa hanya 1 juta daripada 4 juta orang yang mempunyai fail di Lembaga Hasil Dalam Negeri diklasifikasikan sebagai pembayar cukai.

Satu juta daripada jumlah pekerja sebanyak lebih kurang 12 juta. Kalau mengikut kenyataan beliau, ini bermakna tidak sampai 10 peratus daripada pekerja Malaysia diklasifikasikan pembayar cukai! Bandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, di mana dijangkakan setinggi 57 peratus daripada jumlah isi rumah membayar cukai pendapatan persekutuan.

Nurul-IzzahAngka ini sebenarnya tidaklah begitu mengejutkan, apatah lagi dengan laporan daripada pelbagai agensi yang meletakkan kadar gaji dan upah yang diterima oleh rakyat Malaysia adalah rendah. KWSP pernah melaporkan sekitar 78 peratus daripada pencarum mempunyai gaji kurang dari RM3,000 sebulan!

Hakikat ini menyedihkan walau tidak menghairankan kita; terutama bila melihat perancangan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menganggarkan peratus gaji daripada KDNK akan turun dari 28 peratus kepada hanya 21 peratus menjelang 2020.

Ternyata, Malaysia tidak mempunyai pembayar cukai yang cukup untuk menampung perbelanjaan dan hutang Kerajaan Persekutuan yang semakin bertambah.

Justeru, cara mudah bagi kerajaan menyelesaikan masalah ini adalah dengan mengutip cukai secara borong – hinggakan warga miskin berpendapatan rendah pun tidak terkecuali – Inilah dipanggil cukai regresif, GST!

Dua minggu lepas saya diberikan peluang ke United Kingdom, untuk bertemu dengan beberapa Ahli Parlimen negara tersebut.

Bagaimanapun pada saya, kemuncak lawatan tersebut ialah jemputan memberikan syarahan serta sesi soal jawab dengan pelajar-pelajar yang sedang menimba ilmu di Britain.

kantin sekolah gstLaporan Bank Dunia 2011 menyatakan, sebanyak 20 peratus daripada graduan Malaysia meninggalkan negara untuk mencari peluang lebih baik di negara lain, dengan Singapura menjadi pilihan utama.

Mereka yang meninggalkan tanah air pula diganti dengan pekerja-pekerja asing yang tidak mempunyai pendidikan tinggi atau berkemahiran.

Bank tersebut juga melaporkan punca utama mengapa ini berlaku ialah kerana gaji dan faedah-faedah yang diterima oleh pekerja di Malaysia jauh lebih baik di negara-negara maju.

Universiti Stanford dalam sebuah kertas memberikan contoh, seorang graduan sains komputer berpeluang untuk menerima gaji permulaan lebih kurang USD$50,000 di Amerika Syarikat, sementara di Malaysia, kadangkala tidak sampai USD$10,000.

Pengenalan cukai yang regresif seperti GST dalam keadaan negara yang belum lagi bersedia untuk cukai sebegitu akan memberikan kesan amat besar kepada rakyat jelata.

Ada mengatakan negara-negara maju tersebut juga mengamalkan GST atau VAT (Value Added Tax) seperti di Singapura, tetapi adakah mereka mengambil kira nisbah gaji berbanding KDNK negara tersebut yang sudah pun berada pada sekitar 42 peratus pada tahun 1997?

Kita bakal menempuh 21 peratus sahaja! Kerajaan tidak boleh terus-menerus menekan rakyat dengan mengekalkan polisi gaji yang rendah untuk menarik pelabur ke dalam negara. Telah tiba masa untuk Malaysia berfikir bagaimana menarik minat pelabur tanpa mengorbankan kehidupan rakyat Malaysia.

Garis paras kemiskinan yang ditakrifkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah pada sekitar RM830, sementara gaji minimum di Semenanjung adalah pada RM900 sementara di Sabah dan Sarawak RM800.

Bagaimana mungkin rakyat dapat mengeluarkan diri dari kepompong kemiskinan sekiranya polisi-polisi kerajaan hanya melebihkan kroni kapitalis semata-mata?

Pakatan Rakyat menyedari keadaan ini semasa merangka manifesto pada PRU13 tahun lepas. Gaji minimum yang tinggi mesti dikuatkuasakan untuk meningkatkan kuasa membeli dan menambah pendapatan boleh guna rakyat; kita juga menolak pelaksanaan GST sehingga taraf hidup rakyat ditingkatkan, rasuah disekat!

Pokoknya, kerajaan mestilah mempunyai keazaman untuk membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Suatu anjakan paradigma perlu berlaku untuk memberikan bahagian yang lebih adil kepada pekerja. Kerajaan tidak boleh mengambil jalan pintas untuk menambahkan keuntungan kepada negara, Sebarang usaha yang dilakukan perlulah mendahului rakyat.

* Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai

Leave a Reply

Your email address will not be published.