Categories
SELANGOR

MB: Juruteknik, pegawai kebajikan dan bidan wanita setiap pangsapuri

Oleh: Nor hayati Umor

SHAH ALAM 2 JUN : Kerajaan Negeri akan melaksanakan program baru kepada pangsapuri di bawah seliaannya dengan menyediakan juruteknik terlatih dalam usaha menyelenggara pangsapuri bagi tempoh jangka masa panjang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dalam tempoh dua tahun akan datang, pihaknya akan menyediakan tiga juruteknik dan seorang pegawai kebajikan dan bidan wanita di setiap pangsapuri.

MBKatanya, pendekatan itu diambil bagi mengatasi masalah kerosakan infrastruktur pangsapuri seterusnya mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Kerajaan Negeri sangat prihatin kepada kehidupan rakyat negeri ini kerana sekurang-kurangnya 1 juta penduduk tinggal di pangsapuri.

“Kita akan menyediakan juruteknik Plumber, juru eletrik dan juruteknik yang mahir pembaikian lift serta pegawai kebajikan dan bidan wanita yang terlatih,” katanya dalam ucapannya di majlis perasmian kursus perdana Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri (SEROJA), di Dewan Jubli Perak, di sini.

Abdul Khalid berkata ketika ini, program latihan kepada juruteknik itu sedang dijalankan dan mereka akan dibayar gaji oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri juga memberi peluang kepada belia yang mempunyai pengalaman tetapi tidak bekerja supaya memohon jawatan itu.

“Mereka boleh memberikan nama kepada Exco Perumahan, Yb Iskandar dan saya berjanji mereka akan dibayar gaji minimum RM1,500 sebulan,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini terdapat banyak masalah berlaku di pangsapuri membabitkan isu penyelenggaraan.

Katanya, ia berlaku ekoran bahan atau alat pembinaan yang dilakukan tidak mengikut standard yang ditetapkan.

“Jika kita baiki contohnya lift ia hanya dapat diselesaikan bagi tempoh masa pendek dan menyebabkan badan pengurusan bersama (JMB) mahupun MC terbeban dengan kos.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri membuat keputusan ini. Itu sebab pengurusan pangsapuri mesti dibuat dengan cara yang baru,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berharap program itu akan dilaksanakan dengan sebaiknya dan segera selain program kesihatan kepada penduduk pangsapuri.

Hadir sama di majlis perasmian itu Exco Perumahan, Iskandar Samad dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan hartanah Selangor, Norzaton Aini Mohd Kassim.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.