Categories
SELANGOR

MB: PBT perlu proaktif laksana penambahbaikan berterusan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 JUN: 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor dirai bagi menzahirkan penghargaan Kerajaan Negeri ekoran mencapai kecemerlangan dalam Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam penilaian itu, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menerima pengiktirafan lima bintang dengan markah tertinggi sebanyak 90.30 peratus menjadikannya PBT terbaik negara.

Penyampaian sijil pengiktirafan kedudukan bintang itu disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim serta Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi dalam majlis Apresiasi PBT Selangor 2014, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

logo PBTSembilan PBT lain turut diberi penghargaan selepas memperoleh empat bintang iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayan (MPS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Selain itu, MBPJ, MPK dan MPAJ tersenarai dalam 10 PBT terbaik di Malaysia dan MBSA pula terpilih sebagai satu-satunya PBT yang menerima taraf lima bintang dalam kategori memartabatkan bahasa kebangsaan di tempat awam.

Abdul Khalid berkata, beliau mahu setiap PBT sentiasa bersikap proaktif dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi meningkatkan keberkesanan serta kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah dan setinggi penghargaan kepada semua PBT yang berusaha keras.

v3“Kita sedia maklum Selangor adalah negeri yang pertumbuhan perbandarannya sangat pesat. Oleh itu, mulai kini tumpuan kita adalah menambah hasil, penggunaan dana yang berhemat serta perancangan baru dalam usaha menjadikan Selangor sebagai negeri perbandaran,” katanya.

Beliau berkata, PBT juga perlu mengendalikan program kemasyarakatan seperti Local Agenda 21 supaya masyarakat lebih faham akan peranan mereka.

“Sebagai negeri yang menyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar, PBT juga perlu berperanan dalam aspek perancangan dan penyediaan infrastruktur,” katanya.

Pada majlis sama, turut disampaikan tanda penghargaan dan penyerahan Aku Janji kepada Ahli Majlis PBT yang dilantik tahun ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.