Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Selangor siap sedia air mentah cukup sepanjang El-Nino

Kerajaan Selangor telah membuat persiapan dan perancangan rapi bagi memastikan bekalan air mentah di kesemua empangan utama mencukupi sepanjang musim kering kesan daripada fenomena El-Nino yang dijangka berlarutan hingga tiga (3) bulan akan datang.

Taklimat oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebentar tadi, kita dimaklumkan bahawa pengunaan kolam sumber air diteruskan untuk mengepam air kolam ke sungai ketika aliran rendah dan menakung air sungai ketika terdapat aliran air sungai yang banyak.

loji airTerdapat 20 pam telah diletakkan di sembilan (9) buah kolam sumber air yang berkemampuan menyediakan air mentah sebanyak 800 juta liter sehari (JLH) untuk menampung pengeluaran air mentah daripada Sungai Tinggi dan Sungai Selangor.

Dengan perancangan ini, pengeluaran air mentah dari Sungai Selangor dapat diminimakan bagi membolehkan bekalan air terawat di Loji Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dapat disalurkan seperti biasa.

LUAS juga telah melakukan percubaan (drill) untuk kesemua pam ini agar ia berfungsi dengan baik dan siap sedia untuk digunakan.

Dengan perancangan yang ada ini, Kerajaan Selangor yakin kita boleh menghadapi musim kering kesan daripada fenomena El Nino dan setakat ini kita tidak ada rancangan untuk membuat catuan semula.

Kita juga berusaha menambahkan sumber air seperti air bawah tanah sebagai usaha tambahan.

Sehingga kini sebanyak 37 bilangan operasi pembenihan awan telah dijalankan yang melibatkan kepakaran wakil Bureau of Royal Rainmaking And Agricultural Aviation of Thailand.

Walaupun kadar hujan yang diterima di kawasan empangan adalah sedikit namun melalui kerjasama dengan biro tersebut telah meningkatkan keberkesanan kadar hujan diterima.

Justeru, kita sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat mereka untuk tempoh yang lebih panjang bagi menjalankan pembenihan awan sepanjang musim kering ini seperti yang telah mereka lakukan di Utara Thailand.

Pada masa yang sama, pensampelan kualiti air kolam sumber air tersebut akan diteruskan dengan kekerapan yang lebih bagi memastikan air mentah mematuhi piaiwaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada pensampelan terakhir pada 20 Mei lalu, air kolam-kolam ini mengikut piawaian yang ditetapkan.

Walaubagaimanapun, kita sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan menyeru rakyat mengamalkan penjimatan air pada setiap masa.

Untuk memastikan rakyat sentiasa peka dan mendapat maklumat terkini status sumber air alternatif, Kerajaan Selangor melalui LUAS akan mengadakan sebuah seminar pada 18 Jun 2014 yang akan datang untuk memberi pemahaman dan maklumat kepada masyarakat dan pihak-pihak berkaitan berkenaan status semasa kolam-kolam sumber air Negeri Selangor termasuk kualiti dan kuantitinya serta proses penjagaannya.

Kita akan menjemput Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Penghulu, Ketua Kampung dan Ketua Komuniti supaya maklumat ini dapat disampaikan kepada rakyat di semua peringkat.
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.